Jumaat, 18 Ogos 2017 | 3:58pm
DATUK Muhammad Ibrahim pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi suku kedua Malaysia di Bank Negara. - Foto Eizairi Shamsudin
DATUK Muhammad Ibrahim pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi suku kedua Malaysia di Bank Negara. - Foto Eizairi Shamsudin

Rangka kerja insurans perubatan akan dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengeluarkan rangka kerja perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam tempoh yang terdekat bagi mengurangkan kenaikan harga insurans perubatan yang berlaku setiap tahun.

Gabenornya, Datuk Muhammad Ibrahim, berkata kadar kenaikan tahunan harga insurans perubatan ketika ini adalah agak tinggi, justeru beberapa langkah perlu dilaksanakan bagi menangani isu berkenaan.

Beliau berkata, tuntutan insurans perubatan yang meningkat pada setiap tahun adalah berpunca daripada beberapa faktor termasuk permintaan untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih baik, pertambahan golongan berusia dan penyakit kronik, kemajuan teknologi serta peningkatan kos ubat-ubatan dan rawatan.

"Peningkatan tuntutan perubatan menambah tekanan ke atas premium insurans perubatan. Secara purata, tuntutan insurans perubatan meningkat 14 peratus setahun," katanya pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi suku kedua Malaysia di sini, hari ini.

Jumlah tuntutan bersih yang dibayar kepada pemegang polisi insurans meningkat kepada RM4.9 bilion tahun lalu, berbanding RM4.5 bilion pada 2015. Ia meningkat mendadak berbanding RM2.6 bilion yang dibayar kepada pemegang polisi insurans lima tahun lalu.

Muhammad berkata, antara perkara dipertimbangkan di dalam rangka kerja berkenaan, yang akan dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, adalah mengeluarkan senarai harga semasa bagi produk farmaseutikal dan ubat-ubatan selain yuran khidmat perubatan yang dikenakan ke atas pesakit.

"Ini akan membolehkan pesakit membuat keputusan yang bermaklumat," katanya sambil menambah kenaikan kos ubat-ubatan dan rawatan dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyebabkan tuntutan insurans perubatan yang lebih tinggi.

Sementara itu, mengenai kehadiran syarikat insurans asing dalam pasaran tempatan, yang mana ada sesetengahnya tidak mematuhi undang-undang pemilikan Malaysia, Muhammad berkata bank pusat menggesa syarikat insurans ini memenuhi semua janji mereka.

"Itulah apa yang kami minta selepas memberikan lesen (kepada syarikat insurans) untuk beroperasi di Malaysia. Bagaimanapun tempoh masa bagi memenuhi janji itu bergantung kepada saiz syarikat, syarikat yang lebih kecil akan berdepan dengan masalah lebih kecil dan sebaliknya," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, syarikat insurans asing dalam pasaran domestik diarahkan untuk mencari rakan kongsi tempatan dan membabitkan rakan kongsi tempatan seperti yang termaktub dalam undang-undang pemilikan Malaysia.

BNM dilaporkan mengeluarkan arahan itu pada April lalu kepada Tokio Marine Holdings Inc, AIA Group Ltd, Great Eastern Holdings Ltd dan Prudential untuk menyerahkan identiti rakan kongsi tempatan, yang akan mengambil alih 30 peratus pemegangan saham dalam operasi mereka.

Susulan liberalisasi pemilikan asing, Malaysia meminta syarikat insurans dan pengendali takaful asing untuk mematuhi syarat 30 peratus penyertaan tempatan dalam syarikat mereka dan mengekalkan 49 peratus hingga 70 peratus ekuiti asing dalam syarikat mereka.

Dalam perkembangan lain, faktor risiko lebih meluas, iaitu model kenderaan, pengalaman pemandu, tingkah laku semasa memandu dan ciri-ciri keselamatan kenderaan kini diambil kira untuk menentukan premium insurans motor berbanding faktor seperti usia diinsuranskan, usia kenderaan dan rekod tuntutan lalu.

Pada 2016, 19,307 kenderaan dicuri dan syarikat insurans membayar RM77.8 juta bagi tuntutan kecurian bagi tiga model kenderaan utama iaitu Toyota Vellfire, Mitsubishi Pajero dan Toyota Hilux.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X