Selasa, 31 Oktober 2017 | 12:26pm

AirAsia sedia penerbangan dari Kuching ke Shenzhen

SEPANG: AirAsia akan memulakan penerbangan terus harian dari Kuching, Sarawak ke Shenzhen, China, mulai 26 Disember ini.

Justeru, ia adalah laluan antarabangsa ketiga dilancarkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, tahun ini.

Ketua Komersial AirAsia Bhd, Spencer Lee, berkata Sarawak adalah antara destinasi pelaburan paling popular di Malaysia bagi syarikat dari China, selain menjadi pelabur terbesar dalam sektor keluli dan tenaga boleh diperbaharui di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya percaya laluan itu bukan saja akan mengukuh dan membuka banyak peluang perdagangan antarabangsa, pelaburan langsung asing (FDI) dan e-dagang, malah akan terus memperkasa ekonomi negeri itu.

"Laluan ini, selari dengan wawasan kami untuk menjadikan Kuching hab serantau, selaras usaha kerajaan untuk meningkatkan sektor pelancongan dan penambahan laluan penerbangan di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan.

Sempena pengumuman laluan baharu itu, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua daripada RM88 sehala dari Kuching ke Shenzhen untuk tempahan bermula sekarang hingga 5 November ini, di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia untuk peranti iPhone dan Android, bagi tempoh perjalanan di antara 26 Disember ini dan 25 Mac 2018.

Ahli AirAsia BIG juga boleh mendapatkan 100 Mata Ganjaran BIG apabila mereka turut membeli Insurans Perjalanan dalam talian.

AirAsia kini terbang ke 12 destinasi dari Kuching dengan 229 penerbangan mingguan sehala.

Selain Shenzhen, syarikat penerbangan itu juga terbang dari Kuching ke Singapura, Pontianak, Miri, Sibu, Bintulu, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Langkawi.

Selain itu, sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk pasaran China, AirAsia meningkatkan kekerapan dari Kuala Lumpur ke Kunming hingga 14 kali seminggu bermula 19 Disember ini, dan dari Langkawi ke Shenzhen hingga empat kali seminggu bermula 23 Disember ini.

Berita Harian X