Rabu, 13 Disember 2017 | 9:38pm

OLM Inc buka studio animasi 2D di Malaysia

KUALA LUMPUR: Syarikat filem dan animasi Jepun, OLM Inc yang dalam langkah untuk berkembang, menubuhkan OLM Asia Sdn Bhd dan membuka studio animasi dua dimensi gaya 'Anime' yang pertama di Malaysia.

OLM Asia yang berpangkalan di Malaysia, akan diketuai Hidehiko Kitajima sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif.

"Malaysia menjadi lokasi permulaan terbaik untuk OLM Asia kerana terdapat kumpulan bakat kreatif yang berpotensi di sini yang hanya menunggu untuk diterokai," kata Kitajima dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah terbaru OLM Inc itu disokong sepenuhnya oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan kedua-dua pihak, bercita-cita untuk mewujudkan industri 'Anime' di Malaysia.

Naib Presiden Teknologi dan Kandungan Kreatif MDEC, Hasnul Hadi, berkata MDEC berharap OLM Asia akan berkembang dengan pesat dan muncul sebagai hab pengeluaran 'Anime' Asia Pasifik.

OLM Asia akan memberi fokus kepada latihan serta bekerja dengan lebih banyak pelukis digital dan artis animasi yang menjadi tempat kebergantungan industri terbabit untuk berkembang.

"Mereka mahu menjadi sebuah pusat sehenti yang memberikan perkhidmatan dalam penghasilan Anime dan pada masa yang sama, melahirkan bakat animasi yang cemerlang," katanya.

Sempena pembukaan OLM Asia di Malaysia, syarikat itu akan menyertai Comic Fiesta 2017 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 16 hingga 17 Disember 2017. - BERNAMA

Berita Harian X