Jumaat, 26 Januari 2018 | 8:30pm
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir. - Foto Nik Hariff Hassan

Pelan Tindakan DPMM sasar tarik sejuta ahli

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyasarkan sejuta keahlian di bawah Pelan Tindakan DPMM yang diumumkan tahun lalu, berbanding hanya 6,000 ahli ketika ini.

Pelan tindakan yang memperincikan 16 program itu, selari dengan usaha kepimpinan baharunya yang mahu mentransformasi DPMM sebagai platform sesuai dengan perubahan semasa.

Presidennya, Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir, berkata sejajar dengan Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) yang diumumkan kerajaan pada Bajet 2018 lalu, usahawan tempatan perlu mengambil peluang dengan mengoptimumkan manfaat teknologi digital dalam meneroka pasaran global terutama teknologi digital tanpa tunai.

"Seramai 6,000 ahli, kira-kira 88 peratus daripadanya menjalankan perniagaan mikro dan hanya 10 peratus daripadanya menggunakan teknologi digital dalam operasi perniagaan.

"Kita mahu, di bawah pelan tindakan itu, semua syarikat ini memanfaatkan platform digital sebagai medium menembusi pasaran global di samping mengukuhkan pasaran tempatan," katanya ketika ditemui pada sidang media di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Dewan Perniagaan Pulau Pinang berkata, dengan keupayaan dan sumber yang ada, DPMM bertanggungjawab memandu usahawan Melayu untuk bersaing di peringkat global, sekali gus meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Sejajar dengan arus kecanggihan teknologi, perniagaan dalam talian sudah semestinya sesuatu yang diberi penekanan kerana pengguna internet global ketika ini sudah mencapai tiga bilion pengguna, yang mana 50 peratus menggunakan perbankan atas talian.

"Menjelang 2020, sebanyak 14 bilion pengguna akan mempunyai internet di kediaman masing-masing di peringkat global," katanya.

Sehubungan itu, katanya, DPMM akan menganjurkan siri jelajah kepada usahawan bagi mendedahkan mereka terhadap kepentingan dan kemudahan perniagaan tanpa tunai dalam tempoh terdekat.

"Dengan 70 peratus usahawan muda yang membarisi kepimpinan DPMM, saya yakin keupayaan dan kepakaran yang mereka ada akan memacu pertumbuhan perniagaan usahawan Melayu bagi tempoh jangka panjang," katanya.

Berita Harian X