Khamis, 8 Februari 2018 | 5:43pm
DATUK Seri Mustapa Mohamed. - Foto BERNAMA

MITI sasar 10,000 syarikat sertai DFTZ

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mahu meningkatkan angka syarikat yang mahu menyertai platform e-dagang Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) kepada kira-kira 10,000 menjelang akhir tahun daripada 1,998 yang direkodkan pada November 2017.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sejak projek perintis DTFZ dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu, minat di kalangan peneraju e-dagang tempatan dan antarabangsa semakin meningkat.

"Kami juga berusaha dalam memastikan kemampanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sudah tersenarai dalam DFTZ, termasuk membantu lebih banyak PKS untuk disenaraikan pada platform itu bagi memastikan mereka bersedia untuk masa hadapan dan dilengkapi sepenuhnya untuk merentasi sempadan melalui e-dagang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Forum Ekonomi Digital Malaysia di sini, hari ini.

Mustapa berkata, senario e-dagang sejak dua tahun lepas amat mengujakan memandangkan rakyat Malaysia mula tertarik ke arah ekonomi digital dalam bentuk yang lebih besar.

Beliau berkata petunjuk terbaharu daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa ekonomi digital menyumbang sejumlah 18.2 peratus kepada ekonomi negara pada 2016, manakala bahagian e-dagang dalam keluaran dalam negara kasar meningkat kepada 6.1 peratus daripada 5.9 peratus pada 2015.

Katanya, sembilan daripada 10 pertubuhan perniagaan di Malaysia adalah PKS, 28 peratus mempunyai kehadiran dalam talian dan 15 peratus sudah pun menggunakan teknologi itu untuk tujuan eksport.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood berkata ia merancang untuk mengembangkan DFTZ dalam tahun ini melangkaui platform Alibaba dan ia sedang melihat ke arah Lazada, 11Street dan Aladdin Street bagi fokus ke arah eksport dalam pasaran Asia Tenggara.

Beliau berkata inisiatif DFTZ adalah pengubah terpenting untuk ekonomi digital Malaysia yang akan memberikan tumpuan kepada penyediaan platform yang serba canggih bagi memudahkan PKS menjalankan perniagaan dan perkhidmatan mereka.

"Tahun ini, kami akan membawa visi ini ke peringkat seterusnya dengan memberi tumpuan kepada pengembangan DFTZ seperti melalui perkapalan, mengubah pasaran perdagangan global yang mana fasa pertama pengembangan ini akan merangkumi lokasi di Malaysia, seperti Pelabuhan Klang dan Bukit Kayu Hitam," katanya lagi.

-BERNAMA

Berita Harian X