Selasa, 6 March 2018 | 6:19pm

Ekonomi Digital dijangka sumbang 20 peratus KDNK

SHAH ALAM: Ekonomi Digital dijangka menyumbang lebih daripada 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020, kata Ketua Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ng Wan Peng.

Beliau berkata Ekonomi Digital bakal menjadi enjin pertumbuhan bagi kebanyakan negara di dunia, termasuklah Malaysia.

Katanya, penerimaan digital mempunyai potensi untuk meninggalkan impak yang signifikan terhadap ekonomi negara ini.

"Berdasarkan kajian yang kami jalankan, penerimaan digital di negara ini masih tidak mencapai tahap yang diingini. Ada industri seperti kewangan dan peruncitan yang sudah menerima pakai unsur digital dalam operasi mereka dan kini berada di tahap yang agak tinggi.

"Manakala bagi industri lain seperti agrikultur dan pertanian, kadar penerimaan digitalnya masih berada di tahap awal. Justeru, sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk Ekonomi Digital negara, kami akan memberi tumpuan ke atas pembinaan ekosistem yang betul bagi penerimaan digital," katanya pada sesi taklimat media mengenai penggunaan teknologi digital di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Peng berkata MDEC sentiasa menggalakkan usahawan atau pemilik perniagaan supaya menerima pakai teknologi digital dalam operasi harian mereka.

"Ini kerana inovasi adalah penting untuk menjadikan setiap perniagaan berjaya bertahan dalam tempoh yang panjang. Penerimaan digital juga boleh menyumbang kepada keberkesanan dan keuntungan yang lebih baik.

"Syarikat yang menerajui pembaharuan digital dalam perniagaan mereka adalah 26 peratus lebih untung berbanding purata industri.

"Syarikat terbabit bukan hanya melaksanakan konsep digital ke atas proses sedia ada tetapi juga menyepadukan teknologi ke dalam proses serta aliran kerja mereka," katanya.

Antara usaha yang dijalankan MDEC untuk menggalakkan Ekonomi Digital termasuklah dengan menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak seperti pakar digital, pertubuhan, agensi kerajaan dan badan berkanun.

Berita Harian X