Rabu, 21 March 2018 | 5:38pm

BNM larang caj tambahan kad debit, kredit

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) melarang peniaga mengenakan caj tambahan untuk pembayaran menggunakan kad debit dan kredit seperti yang dinyatakan di bawah Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran diperkenalkan BNM.

Bank pusat itu berkata, bagi kad kredit, larangan sama juga adalah sejajar dengan peraturan skim kad antarabangsa seperti Visa dan Mastercard.

Katanya, larangan terhadap caj pembayaran itu dipantau dan dikuatkuasa oleh bank yang menyediakan kemudahan e-pembayaran kepada peniaga.

"Pengguna yang berdepan dengan situasi di mana peniaga mengenakan caj tambahan, dinasihatkan untuk membuat aduan kepada bank atau pengeluar kad pembayaran berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

BNM menambah, salah satu sebab peniaga mengenakan caj tambahan itu adalah bagi menampung semula kos yang dikenakan kepada mereka apabila menerima bayaran menggunakan kad pembayaran.

Katanya, peniaga biasanya mengenakan caj yuran transaksi, juga dikenali sebagai Kadar Diskaun Saudagar (MDR).

"Di peringkat global, banyak negara telah menguatkuasakan pelbagai pendekatan dalam menangani isu caj tambahan dikenakan oleh peniaga jika menggunakan kad pembayaran.

"Di Kesatuan Eropah dan United Kingdom, peniaga dilarang mengenakan caj tambahan ke atas pengguna untuk urus niaga membabitkan kad kredit dan kad debit.

"(Bagaimanapun) Di Australia, peniaga berhak mengenakan caj tambahan terhadap pelanggan yang membayar menggunakan kad pembayaran yang lebih mahal seperti kad kredit.

"Rasional pendekatan berkenaan adalah untuk menghantar isyarat bagi menggalakkan pengguna membayar menggunakan kad debit yang lebih efektif dari segi kos," katanya.

Di Malaysia, BNM telah memperkenalkan langkah seperti Rangka Kerja Pembaharuan Kad Pembayaran dan Rangka Kerja Pemindahan Kredit bagi merendahkan kos kepada peniaga apabila menerima kaedah pembayaran elektronik yang lebih efektif dari segi kos.

Ini katanya akan mengurangkan tekanan kepada peniaga untuk mengenakan caj tambahan kepada pelanggan.

"Bagi mendapatkan manfaat daripada kos operasi yang lebih rendah, peniaga digalakkan untuk menerima kaedah pembayaran yang lebih efektif dari segi kos seperti pembayaran mudah alih dan kad debit.

"Kepada peniaga yang tidak mampu untuk membayar MDR lebih tinggi adalah digalakkan untuk bertemu dengan bank berkenaan bagi hanya menerima pembayaran menggunakan kad debit," katanya.

Dalam pada itu, BNM menjelaskan bahawa jawapan diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz di Dewan Rakyat baru-baru ini adalah merujuk kepada kadar faedah dikenakan oleh pengeluar kad kredit kepada pemegang kad yang mempunyai baki kad kredit tertunggak yang sudah melebihi tempoh, bukannya caj tambahan dikenakan peniaga terhadap transaksi membabitkan kad kredit dan kad debit.

369 dibaca
Berita Harian X