Rabu, 28 March 2018 | 5:37pm
TERDAPATNYA kumpulan pekerja asing berkemahiran rendah memberikan masalah kepada faktor harga domestik, sekali gus tidak menggalakkan industri dipertingkatkan. - Foto hiasan

Lambakan pekerja asing perlu ditangani: BNM

KUALA LUMPUR: Kebergantungan kepada pengeluaran berkos rendah dan bergaji rendah akan menjejaskan usaha Malaysia meningkatkan produktiviti serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan menawarkan gaji lebih baik.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, peralihan negara ini kepada ekonomi berpendapatan tinggi memerlukan anjakan besar daripada model perniagaan berintensifkan buruh kepada model yang dipacu oleh peningkatan produktiviti, kelebihan teknologi dan pengetahuan teknikal canggih.

"Terdapatnya pekerja berkemahiran rendah pada kos yang murah mewujudkan masalah yang membuatkan firma enggan melaksanakan transformasi," kata BNM dalam laporan bertajuk: Masalah Pekerja Asing Berkemahiran Rendah Kepada Ekonomi.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pekerja asing merangkumi lebih daripada satu perlima pekerja pada 2016, kebanyakannya dalam sektor pertanian (37.3 peratus), pembinaan (22.4 peratus) dan pengeluaran (21.2 peratus).

BNM menegaskan, terdapatnya kumpulan pekerja asing berkemahiran rendah memberikan masalah kepada faktor harga domestik, sekali gus tidak menggalakkan industri dipertingkatkan.

"Ia menjadikan buruh secara relatifnya murah berbanding dengan modal, justeru bukan satu insentif kepada firma untuk menggantikan buruh dengan teknologi atau menambah nilai aktiviti tenaga kerja berkemahiran lebih tinggi," kata bank pusat itu.

Laporan itu berkata, geran dan insentif disediakan oleh kerajaan bagi penggunaan automasi dan teknologi tidak mencukupi untuk memacu firma meningkatkan rantaian nilai masing-masing.

"Sejak 2018, kira-kira RM8 bilion diperuntukkan oleh kerajaan untuk membantu penggunaan teknologi dan mengkomersialkan usaha.

"Malah, kewujudan pekerjaan berkemahiran rendah meningkat kepada 16 peratus daripada lapan peratus pada 2002 kepada 2010, manakala 73 peratus pekerjaan yang diwujudkan antara 2015 dan 2016 diperoleh warga asing, yang kebanyakannya memiliki pendidikan menengah," katanya.

BNM mendedahkan, tumpuan berlebihan kepada pekerja asing juga menyaksikan kiriman wang yang tinggi ke luar negara, sekali gus mengurangkan limpahan dalam ekonomi domestik.

"Jumlah kiriman keluar wang pada 2017 kekal tinggi pada RM35.3 bilion, yang kebanyakannya dibuat oleh pekerja asing," katanya.

BNM berkata, automasi dan penggunaan teknologi lebih canggih juga mewujudkan permintaan tersendiri bagi pekerja berkemahiran lebih tinggi, yang kebiasaannya datang dengan gaji lebih baik dan boleh diisi oleh graduan menganggur yang dilatih semula.

Bank pusat itu menjelaskan beberapa teras dasar untuk mengukuh dan memastikan sistem pengurusan pekerja asing pada masa hadapan dirangka sejajar dengan matlamat ekonomi jangka panjang Malaysia.

Terdapat lima pendekatan digariskan oleh BNM iaitu pendirian jelas peranan pekerja asing; pelaksanaan berperingkat dan komunikasi jelas dasar; instrumen pengurusan permintaan dipacu pasaran; layanan adil pekerja asing; dan penguatkuasaan serta pemantauan berkesan.

BNM berkata, dasar pengurusan pekerja asing pada masa akan datang, jika tidak direka bentuk dengan baik dan dilaksanakan secara tidak konsisten akan meningkatkan kebergantungan negara ini terhadap pekerja asing.

"Kebergantungan tinggi ke atas pekerja asing, jika tidak ditangani, akan mengurangkan usaha automasi, menjejaskan gaji keseluruhan dan menghalang usaha meningkatkan produktiviti.

"Ia juga akan menjejaskan penghasilan pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengakibatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan berintensifkan buruh serta berkemahiran rendah," katanya.

1753 dibaca
Berita Harian X