Isnin, 9 April 2018 | 12:40pm

DFTZ jana jualan RM52.1 juta

SEPANG: Program Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) SME Onboarding menjana jualan keseluruhan RM52.1 juta sejak November 2017.

Menerusi data awal Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) daripada Penilaian Hasil eTRADE 2017, sebanyak 70 pengeluar perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai program berkenaan dengan nilai eksport berjumlah RM18.1 juta.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata setakat ini, sejumlah 2,651 PKS sudah menyertai DFTZ sejak November tahun lalu.

"Buat masa ini, MITI, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan MATRADE akan memberi tumpuan dalam menggalakkan lebih ramai PKS menyertai DFTZ, tidak hanya menerusi Alibaba.com, malah platform e-dagang lain seperti Qoo10, Amazon, eBay, Trade India serta platform tempatan termasuk Dagang Halal, Aladdin Street dan BuyMalaysia," katanya pada taklimat media mengenai status DFTZ di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Bhd,  Datuk Badlisham Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood.Projek perintis DFTZ ketika ini berpusat di KLIA Air-Cargo Terminal 1 (KACT1) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mana diuruskan oleh Pos Aviation Sdn Bhd.

"Dengan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk inisiatif pelaksanaan WIRA e-Dagang di DFTZ yang diumumkan kerajaan untuk tempoh tiga tahun akan datang, ia akan menggalakkan syarikat e-dagang Bumiputera dapat bersaing diperingkat global," tambah Mustapa.

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X