Isnin, 9 April 2018 | 6:27pm
BADLISHAM (kanan) pada taklimat media status terkini DFTZ di Sepang, hari ini. - Foto

DFTZ jangka tarik pelaburan RM800 juta

SEPANG: Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dijangka menerima pelaburan berjumlah RM800 juta untuk tujuan pembangunan infrastruktur, kemudahan, sistem dan peralatan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali, berkata pelaburan yang akan disuntik MAHB, syarikat usaha sama (JV Co) dan pelaburan terus syarikat China itu bakal memacu pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

Katanya, projek perintis DFTZ berpusat di KLIA Air-Cargo Terminal 1 (KACT1) di Kluster Pembangunan dan Logistik KLIA Aeropolis juga dijangka menjana RM1.6 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan 6,000 pekerjaan dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang

"DFTZ dijangka menerima pelaburan RM800 juta bagi merancakkan lagi pembangunan zon ekonomi digital negara di atas tanah berkeluasan 36.4 hektar di mana ia akan siap sepenuhnya menjelang tahun 2020," katanya pada taklimat media status terkini DFTZ di sini, hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed turut sesi taklimat media dan melawat ke tapak projek DFTZ bagi meninjau perkembangan pembangunan zon ekonomi digital negara.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood dan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Seri J Jayasiri.

Mengulas lanjut, Badlisham berkata, daripada jumlah keseluruhan pembangunan DFTZ, sejumlah 24.9 hektar yang dikenali KLIA Aeropolis DFTZ Park akan dimajukan oleh MAHB dan Alibaba Group menerusi unit logistiknya, Cainiao Network.

Katanya, projek yang sedang dimajukan dan akan diserahkan kepada JV Co untuk pembangunan kemudahan, bakal menjadi Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) pertama di luar China.

"Kemudahan ini akan merangkumi 1.2 juta kaki persegi keluasan lantai kasar (GFA) adalah untuk terminal kargo, pusat penyusunan, gudang dan pejabat operasi. Ia dijangka siap pada suku ketiga 2020," katanya.

Selain itu, katanya, sejumlah 12.1 hektar lagi akan dibangunkan untuk pemain industri e-dagang lain bagi mengembangkan perniagaan menerusi DFTZ.

"MAHB juga akan membangunkan satu juta kaki persegi GFA bagi kemudahan kargo dalam tempoh tiga tahun akan datang. Untuk tujuan ini, kami sedang meninjau rakan niaga berpotensi bagi membangunkan gudang gred tinggi dan pusat pengedaran menerusi konsep bina dan pajak bagi memenuhi keperluan lain termasuk logistik halal.

"Pembangunan infrastruktur lain termasuk koridor zon bebas komersial akan dimajukan untuk memenuhi pertumbuhan perniagaan, manakala stesen kargo pula menyokong perhubungan dengan pelabuhan laut, selain kemudahan ini juga digunakan untuk analitik data raya bagi meningkatkan kecekapan operasi," katanya.

Terdahulu, Mustapa berkata, seramai 2,651 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sudah menyertai DFTZ setakat ini dan ia berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran 10,000 PKS menjelang akhir tahun.

"Selepas enam bulan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Jack Ma melancarkan DFTZ, kita melihat perkembangannya cukup memberangsangkan di mana ia menjadi pencetus perubahan untuk memacu PKS ke arah e-dagang.

"Kita juga amat berharap syarikat e-dagang Bumiputera juga dapat memanfaatkan peruntukan RM50 juta dalam inisiatif WIRA e-Dagang DFTZ untuk tempoh tiga tahun akan datang seperti mana yang diumumkan Najib baru-baru ini," katanya.

Berita Harian X