Isnin, 9 April 2018 | 8:56pm
KETUA Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood. - Foto Rosela Ismail

MDEC lancar DTAP komitmen transformasi digital negara

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) hari ini melancarkan Program Pencepatan Transformasi Digital (DTAP) sejajar dengan komitmennya untuk mempercepat agenda transformasi digital negara.

Program itu menyediakan satu pendekatan berstruktur untuk transformasi digital syarikat-syarikat Malaysia dengan memanfaatkan kepakaran makmal transformasi digital untuk membantu perniagaan mengguna pakai teknologi digital baharu.

DTAP yang ditubuhkan untuk syarikat besar dan pertengahan, bertujuan membantu perniagaan mencapai peningkatan produktiviti, mengurangkan pergantungan pekerja asing serta mencipta sumber pertumbuhan atau model perniagaan baru.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, berkata melalui program itu, perniagaan Malaysia akan mendapat sokongan, bimbingan dan menjadi sebahagian daripada ekosistem yang akan menyediakan pendekatan berstruktur kepada transformasi ke dalam dunia digital.

"Matlamatnya adalah untuk membantu syarikat-syarikat Malaysia menjadi entiti bertaraf dunia, dan cara terbaik untuk mencapainya adalah dengan menghubungkan mereka dengan makmal transformasi digital global.

"Dengan hubungan global ini, kami dapat memberikan syarikat pendedahan global yang mereka perlukan," katanya.

Program DTAP akan diadakan dalam dua fasa.

Dalam fasa perintis, kepakaran makmal transformasi digital dimanfaatkan untuk mengenal pasti peluang dan cabaran dalam ruang digital, merungkai penyelesaian yang berpotensi dan melaksanakan bukti konsep/produk berdaya maju dengan hasil yang boleh diukur.

Apabila fasa perintis yang berlangsung antara enam bulan hingga setahun berjaya ditamatkan, syarikat terbabit boleh memohon untuk menjalani pelaksanaan penuh.

DTAP disertai dengan geran pemadanan berasaskan hasil, iaitu perkongsian antara MDEC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud berkata agensinya bekerjasama dengan MDEC dalam menyusun DTAP bagi mengangkat pemain industri Malaysia dalam sektor keutamaan untuk membantu inisiatif digital mereka.

Azman berkata MIDA memudahkan peralihan syarikat-syarikat tempatan melalui Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) dan memperluaskannya untuk menampung DTAP anjuran MDEC.

"Kami berharap usaha ini akan terus mendapat sokongan daripada industri dan dalam jangka masa panjang kita akan mempunyai lebih banyak syarikat Malaysia yang berjaya dengan kemampuan untuk menembusi pasaran global," katanya. - BERNAMA

23 dibaca
Berita Harian X