Khamis, 12 April 2018 | 3:48pm

Bank Dunia naikkan KDNK 2018 Malaysia kepada 5.4%

KUALA LUMPUR: Bank Dunia menaikkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun ini kepada 5.4 peratus daripada 5.2 peratus sebelum ini, disokong perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi.

Turut dijangkakan adalah negara dalam landasan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi di antara tahun 2020 dan 2024.

Semakan terbaharu itu, walaupun untuk kali pertama dibuat pada tahun ini, adalah rentetan daripada tiga semakan menaik pada tahun 2017.

Institusi yang berpangkalan di Washington itu juga turut menyemak naik unjuran ekonomi negara pada 2019 kepada 5.1 peratus daripada 4.8 peratus yang dibuat pada Oktober tahun lalu.

Bank Dunia dalam Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik yang dikeluarkannya awal hari ini, berkata ekonomi Malaysia pada tahun lalu mengalami pertumbuhan pesat dengan mencatat pertumbuhan 5.9 peratus disokong oleh faktor domestik dan luaran yang menggalakkan.

"Pertumbuhan Malaysia dijangka kekal kukuh dalam jangka masa terdekat, walaupun pada kadar lebih sederhana berbanding tahun lalu. Secara keseluruhannya, Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.4 peratus pada tahun ini, disokong oleh pengukuhan penggunaan swasta yang berterusan .

"Dengan penurunan pelaburan awam, yang mana sudah dijangkakan, pembentukan modal tetap kasar akan didorong terutamanya oleh pengembangan perbelanjaan modal sektor swasta, yang mana dijangka dapat dikekalkan oleh aliran berterusan projek infrastruktur dan pelaburan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

"Kekukuhan prestasi eksport Malaysia dijangka berterusan ke separuh pertama 2018, sejajar dengan peningkatan kitaran berterusan dalam perdagangan global, walaupun pada kadar lebih rendah daripada tahun sebelumnya," katanya.

Menurut laporan itu lagi, antara yang turut dipertimbangkan adalah komitmen kerajaan terhadap pengukuhan fiskal di tengah-tengah jangkaan sasaran defisit fiskal sebanyak 2.8 peratus daripada KDNK yang akan dicapai pada tahun ini.

"Memandang ke depan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.1 peratus pada 2019 dan 4.8 peratus pada tahun 2020 dan dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi di antara 2020 dan 2024," katanya.

Bagaimanapun, Bank Dunia berkata, ketidakpastian yang berterusan terhadap prospek global mampu memberi kesan kepada pertumbuhan Malaysia kerana ekonomi terdedah kepada perubahan permintaan luar dan keadaan pasaran kewangan global.

"Risiko ketara terhadap prospek pertumbuhan Malaysia adalah berkait rapat terutama dengan persekitaran luaran, penyesuaian mendadak kepada keadaan pasaran kewangan global, atau pertumbuhan ekonomi utama dan permintaan eksport yang lebih lemah daripada jangkaan yang mungkin memberi kesan limpahan negatif yang tidak seimbang ke atas Malaysia, memandangkan ekonomi Malaysia yang banyak bergantung dengan ekonomi global dan pasaran kewangan.

"Di dalam negara, risiko utama adalah berkait dengan hutang kerajaan dan isi rumah yang tinggi, serta ketidaktentuan berhubung pilihan raya umum yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Pengukuhan ekonomi menawarkan peluang penting bagi Malaysia untuk mempercepat pembaharuan struktur untuk pertumbuhan jangka panjang yang berterusan dan untuk memudahkan peralihan ke arah pencapaian status negara berpendapatan tinggi pada tahun mendatang," katanya.

Pada masa sama, Bank Dunia berkata, sasaran mencapai bajet persekutuan yang hampir seimbang dalam jangka sederhana akan memerlukan langkah pembaharuan yang lebih mendalam untuk meningkatkan kutipan hasil dan meningkatkan kecekapan sektor awam, termasuk kecekapan dalam menyasarkan program perlindungan sosial seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Perkara lain yang sama penting adalah mengukuhkan langkah meningkatkan produktiviti pekerja dan melaksanakan langkah untuk memastikan pertumbuhan itu adalah inklusif dan menyediakan peluang kepada semua rakyat," katanya.

Berita Harian X