Isnin, 18 Jun 2018 | 3:16pm
PENGASAS dan Pengerusi Eksekutif Alibaba, Jack Ma berucap ketika majlis pelancaran ibu pejabat pertama Alibaba di Bangsar South . - Foto Saddam Yusoff

Alibaba buka pejabat serantau di Malaysia

KUALA LUMPUR: Syarikat e-dagang utama dunia, Alibaba Group (Alibaba) terus komited meningkatkan kapasiti ekonomi digital di Malaysia dengan membuka pejabat pertamanya di Asia Tenggara di sini, hari ini.

Pembukaan pejabat baharu itu menandakan satu fasa baru kerjasama strategiknya dengan Malaysia dan pembangunan kemudahan Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) pertamanya di luar China.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba, Jack Ma, berkata Malaysia adalah lokasi sesuai bagi menempatkan ibu pejabat serantau baharunya itu disebabkan komitmen berterusan kerajaan Malaysia dalam ekonomi digital.

Beliau berkata, pejabat baharunya itu bakal menjadi pusat latihan setempat dalam meningkatkan usahawan muda dan PKS dalam ekonomi digital.

"Alibaba komited meningkatkan ekonomi digital usahawan Malaysia dan ingin menukar konsep perniagaan mereka agar dapat meningkatkan perniagaan mereka hingga ke peringkat antarabangsa," katanya melancarkan ibu pejabat pertama Alibaba di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Sementara itu, Guan Eng berkata komitmen berterusan Alibaba itu bakal membuka pelaburan baharu, peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan ekonomi Malaysia.

Katanya, kerajaan turut melihat peluang meningkatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan kemudahan eWTP pertama di luar China dan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ).

"Kedua-dua platform ini bakal menggalakkan lagi usahawan muda dan PKS terbabit dalam e-dagang dan meningkatkan eksport mereka ke negara Asia.

"Kerjasama antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Cainiao, cabang logistik Alibaba, untuk membentuk Cainiao - KLIA Aeropolis Sdn Bhd juga akan meningkatkan jumlah kargo di KLIA dengan ketara.

"Lebih penting lagi, ini membentuk strategi yang lebih besar untuk menjadikan Malaysia sebagai hab e-dagang dan logistik di Asia Tenggara," katanya.

Berita Harian X