Isnin, 25 Jun 2018 | 2:37pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Jualan kenderaan suku ketiga dijangka melonjak

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan (TIV) pada suku ketiga tahun ini dijangka meningkat disumbangkan khususnya oleh pelaksanaan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula pada awal bulan ini.

Jangkaan itu di sebalik Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini melaporkan jualan kenderaa merosot buat bulan keempat berturut-turut pada bulan lalu.

Penganalisis Maybank IB Research, Ivan Yap, berkata untuk tempoh tiga bulan akan datang, purata jualan kenderaan diunjurkan akan meningkat kepada 60,000 unit, manakala unjuran TIV bagi 2018 kekal pada 595,000 unit.

"Kami kekal positif kerana sektor ini memasuki tempoh peningkatan jualan dan peserta industri automotif pula akan terus mendapat manfaat daripada kekukuhan ringgit pada separuh pertama 2018," katanya dalam satu nota.

Yap berkata, syarikat automotif berkemungkinan akan melaporkan prestasi suku kewangan paling kukuh bagi 2018 pada suku ketiga ini dipengaruhi oleh faktor kenaikan jumlah jualan pada Julai dan Ogos, selain margin lebih baik daripada perbelanjaan pengiklanan dan promosi (A&P) berikutan kadar sifar GST.

Katanya, syarikat automotif juga masih lagi menikmati manfaat ringgit yang kukuh pada enam bulan pertama tahun ini, memandangkan polisi lindung nilai ke hadapan sudah dilaksanakan.

"Kami difahamkan bahawa model paling popular pasaran menerima tempahan penuh sehingga September. Bagi pengedar kereta yang mempunyai inventori berlebihan seperti Nissan dan Proton, model terdahulu juga akan dihabiskan dalam tempoh ini," katanya.

MAA melaporkan jualan kenderaan Malaysia jatuh empat bulan berturut-turut pada Mei, turun 1.21 peratus kepada 40,221 unit dari 45,133 unit pada bulan sama tahun lalu.

Pengumuman kerajaan pada 16 Mei lalu mengenai pensifaran kadar GST selama tiga bulan bermula 1 Jun lalu menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran jualan kenderaan.

Akibatnya, ramai pelanggan yang menangguhkan pembelian dan pendaftaran kenderaan baharu susulan pengumuman itu.

Bagaimanapun, persatuan itu menjangkakan jualan kenderaan pada bulan Jun akan lebih tinggi, dipacu tawaran musim perayaan Aidilfitri , di tengah-tengah GST berkadar sifar selama tiga bulan dari Jun-Ogos.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan baru-baru ini dilaporkan akan melaksanakan sistem rebat tunai bagi mengurangkan jumlah kereta lama di atas jalan.

Mengulas perkembangan itu, Yap berkata memandangkan pusat pemeriksaan, mekanisme pembiayaan dan kaedah yang terhad, pelaksanaannya dijangka hanya akan berlaku dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi.

"Bagaimanapun, kami menyambut baik cadangan ini kerana ia akan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya, selain menjamin kelangsungan sektor automotif," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X