Rabu, 27 Jun 2018 | 4:25pm
PRESIDEN Life Insurance Association of Malaysia (LIAM), Anusha Thavarajah (tengah), menyampaikan sumbangan duit raya ketika Rumah Terbuka LIAM 2018 di Suasana Kijang. - Foto Halim Salleh

Perlindungan Tenang mampu lindungi golongan B40

KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) yakin kadar penembusan terhadap insurans dan takaful mampu ditingkatkan dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah (B40) melalui penawaran produk Perlindungan Tenang.

Presidennya, Anusha Thavarajah, berkata selari dengan hasrat itu, pihaknya menggesa lebih banyak syarikat insurans dan pengendali takaful menawarkan produk perlindungan itu bagi memenuhi kehendak dan keperluan semasa rakyat.

Beliau berkata, dengan perlindungan asas di bawah Perlindungan Tenang, rakyat Malaysia kini boleh melindungi diri mereka dan keluarga daripada risiko utama kehidupan dengan sumbangan premium hanya dari beberapa ringgit sebulan.

"Kami berharap dalam beberapa bulan akan datang, lebih banyak syarikat akan tampil untuk mengambil bahagian dalam inisiatif yang bertujuan untuk mengurangkan jurang perlindungan di negara ini.

"Perkara ini bukan saja dapat memberikan manfaat kepada pemain industri, malah kepada rakyat demi kebaikan ketika berlaku kecemasan," katanya pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya LIAM.

Perlindungan Tenang adalah inisiatif kebangsaan yang dibangunkan LIAM, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM).

Setakat ini, bagi insurans hayat, terdapat enam syarikat yang menawarkan Perlindungan Tenang iaitu AIA Bhd, Allianz Life, Great Eastern, Hong Leong Assurance, Sun Life Malaysia dan Tokio Marine Life.

Bagi segmen Takaful pula, AIA Public Takaful Bhd, Prudential BSN Takaful Bhd dan Takaful Ikhlas dan bagi insurans am, hanya Allianz General Insurans yang menyediakan tawaran produk itu di pasaran ketika ini.

Anusha berkata, menerusi evolusi berterusan bagi menjangkau pengguna Malaysia serta sokongan mantap dari semua pihak berkepentingan, pihaknya bersama pemain industri lain akan terus meneruskan aspirasi mewujudkan kesedaran dan mendidik pengguna mengenai kepentingan perlindungan insuran hayat dan pendidikan kewangan.

Berita Harian X