Selasa, 3 Julai 2018 | 3:05pm
TERESA Kok Suh Sim. - Foto BERNAMA
TERESA Kok Suh Sim. - Foto BERNAMA

Perang perdagangan AS-China buka peluang pengeksport tempatan

KUALA LUMPUR: Pengeksport komoditi tempatan perlu mengambil peluang daripada pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China ketika ini untuk menawarkan produk masing-masing ke China.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim, berkata cadangan China untuk mengenakan duti import minyak kacang soya daripada AS, dilihat satu peluang khususnya kepada pengeluar minyak sawit, memandangkan sektor itu menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara.

Beliau berkata, Malaysia juga perlu bekerja keras untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi produk agrikomoditi.

Katanya, Malaysia dan China mempunyai hubungan dagang yang kukuh dalam agrikomoditi, dengan nilai mencecah sebanyak RM23.63 bilion pada 2017.

"Malah, pada 2017 jumlah eksport Malaysia dalam produk berasaskan agrikomoditi dan agrikomoditi ke China direkodkan sebanyak RM19.1 bilion, meningkat 27 peratus daripada 2016.

"China juga menjadi pembeli ketiga terbesar produk sawit dan berasaskan minyak sawit dan mengimport 1.92 juta tan minyak sawit dari Malaysia tahun lalu.

"Malaysia berharap China akan mengimport lebih banyak produk berasaskan sawit dan minyak sawit dan menggalakkan syarikat dari China untuk melabur dalam industri utama negara," katanya di majlis pelancaran Persidangan Keusahawanan Malaysia-China ke-8 (MCEC2018) di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC), Tan Yew Sing.

Suh Sim berkata, kementerian menyasarkan untuk meningkatkan nilai dagangan dan hubungan dengan China, sekali gus berharap untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dalam sektor hiliran minyak sawit.

Sementara itu, persidangan MCEC2018 dilihat menjadi platform mempertingkatkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan China.

Yew Sing berkata, persidangan kali ini akan mempromosikan hubungan dagang dua hala yang memfokus kepada industri utama iaitu pembuatan, bioperubatan, makanan, perladangan, pelancongan dan perkhidmatan.

"Pada 2017, jumlah dagangan antara Malaysia dan China mencecah RM290.6 bilion dan ini jelas menunjukkan kedua-dua negara mempunyai prospek pembangunan terbaik dan peluang perniagaan tanpa had," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X