Khamis, 19 Julai 2018 | 3:20pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyampaikan cenderahati kepada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyampaikan cenderahati kepada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

AirAsia mahu kembali ke Terminal Dua KKIA

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan tambang murah negara, AirAsia merancang untuk memindahkan semula operasinya dari Terminal Satu ke Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes, berkata pihaknya berharap ia menjadi kenyataan dalam tempoh enam bulan lagi selepas memaklumkan hasrat itu kepada kerajaan Sabah.

Katanya, ia sejajar hasrat syarikat penerbangan itu untuk membantu Sabah meningkatkan kedatangan pelancong sehingga mencapai sembilan juta orang menjelang tahun 2022.

"Kami percaya dapat meningkatkan kedatangan pelancong ke Sabah tetapi perlu sokongan dari segi fasiliti lapangan terbang dan berharap Terminal Dua dibuka semula," katanya selepas kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini, hari ini.

Tony berkata, pihaknya yakin dapat menarik sehingga lima juta penumpang setahun apabila beroperasi di Terminal Dua, selain menarik lebih banyak penerbangan tambang murah dari luar untuk datang ke Sabah.

Katanya, cadangan memindahkan semula operasi syarikat penerbangan itu adalah antara taklimat ringkas mengenai operasi AirAsia di Sabah kepada Mohd Shafie, selain berkaitan pembinaan lapangan terbang baharu dan usaha menambah penerbangan antarabangsa menghubungkan Tawau dan Sandakan.

Katanya, rancangan untuk beroperasi semula di Terminal Dua juga sudah dimaklumkan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamadin Ketapi serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

"Menteri Pelancongan kata tiada masalah jika kami mahu pindah balik daripada terus membiarkan Terminal Dua menjadi gajah putih kerana tidak digunakan. Kementerian Pengangkutan juga bersikap terbuka dan menyerahkan kepada kerajaan negeri sama membenarkan atau tidak.

"Jadi, kita benar-benar berharap kerajaan negeri menerima cadangan ini. Ia lebih kos efektif berbanding membina sebuah lapangan terbang baharu yang saya difahamkan ada dalam rancangan kerajaan bagi memenuhi keperluan akan datang," katanya.

Pemindahan ke Terminal Dua juga, katanya, dijangka mengembalikan pertumbuhan penumpang AirAsia kepada 26 peratus setahun seperti sebelum ini berbanding pada kadar mendatar sekarang.

Katanya, langkah itu juga selaras rancangan syarikat penerbangan berkenaan untuk membawa masuk operasi AirAsia X ke negeri ini bagi mengendalikan lebih banyak penerbangan antarabangsa menghubungkan Sabah secara terus dengan destinasi luar.

"Kita merancang memperkenalkan penerbangan menghubungkan Kota Kinabalu dengan Perth, Sydney dan Melbourne di Australia selain utara China, Jepun, India dan Korea," katanya.

AirAsia berpindah ke Terminal Satu pada Disember 2015 selepas penutupan Terminal Dua KKIA berikutan pengoperasian sepenuhnya Terminal Satu sebagai terminal bersepadu KKIA.

Sementara itu, bercakap kepada media KKIA, Tony berkata, kos pelaburan menaik taraf Terminal Dua untuk meningkatkan kapasitinya dianggarkan bernilai RM20 juta yang mana pembukaan semula terminal itu akan mewujudkan kira-kira 30,000 peluang pekerjaan.

Berita Harian X