Isnin, 23 Julai 2018 | 9:34am

Ciri asas SST 2.0 mirip SST terdahulu

KUALA LUMPUR: Reka bentuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan 1 September ini secara umumnya adalah mirip dengan ciri-ciri SST yang dimansuhkan pada 31 Mac 2015, demikian menurut Thenesh, Renga & Associates (TraTax Malaysia).

Firma penasihat percukaian itu berkata, SST yang diperkenalkan semula itu juga terdiri daripada komponen cukai jualan dan cukai perkhidmatan, yang mana kedua-duanya adalah sistem percukaian peringkat tunggal iaitu hanya dicukai sekali di peringkat rantaian bekalan.

"Bagi cukai yang dikenakan ke atas barangan, jika barangan dikeluarkan di dalam negara, cukai jualan secara umumnya adalah 10 peratus daripada harga kilang.

"Jika barangan diimport dari luar negara, cukai jualan secara umumnya dikenakan pada 10 peratus daripada nilai barangan, ditambah dengan duti Kastam di peringkat pengimportan.

"Sebahagian (mungkin terhad) barangan pula tertakluk kepada cukai jualan lima peratus, berbanding dengan 10 peratus," katanya dalam satu nota.

TraTax Malaysia berkata, cukai perkhidmatan pula secara umumnya dikenakan pada enam peratus daripada perkhidmatan yang ditakrifkan.

Berhubung mekanisme SST, ia berkata hanya pengeluar dan pengimport yang tertakluk kepada cukai jualan.

"Pengedar dan peruncit tidak perlu mendaftar SST, namun 10 peratus cukai jualan yang dikenakan oleh pengeluar akan dimasukkan ke dalam kos inventori mereka.

"Berbeza dengan GST, hanya penyedia perkhidmatan yang ditakrifkan akan diperlukan berdaftar dengan SST dan mengenakan caj perkhidmatan enam peratus," katanya.

Sebelum ini diumumkan bahawa cukai jualan yang dikenakan adalah berdasarkan asas terakru, manakala cukai perkhidmatan adalah berdasarkan asas bayaran.

Kedua-dua cukai jualan dan cukai perkhidmatan akan mempunyai tempoh dicukai dua kali sebulan. Syarikat perlu menghantar pulangan SST berkaitan dan membayar cukai dalam tempoh sebulan daripada pengakhiran tempoh dicukai masing-masing.

INFO

Antara perkhidmatan tertakluk cukai perkhidmatan enam peratus

- Hotel termasuk apartmen servis dan inap desa atau 'homestay'

- Insurans dan takaful

- Perkhidmatan bagi penyediaan makanan dan minuman (restoran, penjaja, katering dan sebagainya)

- Kelab (kelab malam, kelab golf dan lain-lain)

- Telekomunikasi

- Televisyen berbayar

- Ejen penghantaran

- Perundangan

- Kejuruteraan

- Agensi pengambilan pekerja

Berita Harian X