Jumaat, 27 Julai 2018 | 5:09pm
TIMBALAN Menteri Pembangunan Usahawan Dr Mohd Hatta Ramli (tiga kiri) menerima cenderahati dari Presiden Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua Kah Seng (tiga kanan) selepas sesi dialog Kementerian Pembangunan Usahawan dengan Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) bincang masa hadapan industri franchise dan runcit semperna Malaysia International Retail & Franchise Exchibition di Kuala Lumpur Convention Centre. - Foto Owee Ah Chun

MARA lebih sesuai di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan percaya semua bahagian yang membabitkan keusahawanan bakal dihimpunkan di bawah kementeriannya untuk memperkukuhkan lagi sektor itu.

Timbalan Menterinya, Dr Hatta Ramli berkata, langkah itu bertujuan mengkoordinasi semua bidang, sekali gus memberi tumpuan dan penekanan khusus terhadap pembangunan usahawan.

Katanya, selain itu Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) juga akan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.

"Manakala mengenai Majlis Amanah Rakyat (MARA) saya tidak boleh mengulas lebih lanjut kerana perkara berkenaan telah dibincangkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusoff dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Bagaimanapun, terdapat satu komponen di dalam MARA yang membabitkan keusahawanan, tetapi saya tidak berani komen dan biar Perdana Menteri yang membuat pengumuman," katanya kepada media selepas menghadiri sesi dialog dengan Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia (MRCA) di sini, hari ini.

Hatta berkata, MARA adalah institusi yang besar dan memainkan peranan yang sangat penting dan tidak hanya memfokus kepada keusahawanan.

Beliau berkata, portfolio MARA yang membabitkan keusahawanan lebih sesuai berada di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan.

Ketika ini kawal selia dan tanggungjawab agensi itu masih dalam peringkat perbincangan dalam kabinet.

MARA sebelum ini pernah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum dibubarkan pada 2009.

Berita Harian X