Rabu, 8 Ogos 2018 | 1:27pm
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Darell Leiking. - Foto Aziah Azmee

ASEAN wajar ambil peluang dari perang tarif AS-China

KUALA LUMPUR: ASEAN wajar mengambil peluang daripada perang perdagangan di antara China-Amerika Syarikat (AS) dengan menjalinkan kerjasama lebih rapat menerusi aktiviti perdagangan sesama mereka.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Darell Leiking, berkata bagi memastikan hasrat itu dapat direalisasikan, pertamanya negara ASEAN perlu bekerjasama bersama-sama dalam membangunkan ekonomi di rantau ini.

Katanya, selama ini ASEAN banyak menumpukan kepada negara ekonomi besar (China dan AS) untuk membantu dan berdagang dengan mereka.

“Sedangkan kita mempunyai jumlah penduduk yang tinggi di dalam ASEAN (641 juta orang) dan seharusnya bekerja bersama-sama.

“Ketika negara lain berdepan pelbagai isu, kita mesti bekerjasama dan mengukuhkan lagi sektor e-perniagaan dan perdagangan dua hala di dalam ASEAN.

“Fokus terhadap apa yang kita punyai ketika ini, sementara kita berurusan dengan negara lain yang sedang melalui tempoh sukar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Perniagaan bertajuk Menyerlahkan Potensi e-Perniagaan ASEAN di Menara Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa, di sini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Mengulas berhubung e-perniagaan di ASEAN, Leiking berkata, dengan jumlah penduduk ketiga terbesar di dunia selepas China dan India, rantau ini menawarkan peluang pasaran yang besar dalam sektor terbabit ditambah dengan langganan peranti mudah alih yang tinggi iaitu hampir 400 juta.

Namun begitu, katanya e-perniagaan masih dalam di tahap berkembang dengan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang mewakili 90 peratus perniagaan di rantau ini masih banyak menjalankan perniagaan secara tradisional.

“Bagi memastikan e-perniagaan dapat berkembang di rantau ini, perjanjian ASEAN dalam e-perniagaan sedang dirangka dan dijangka dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

“Perjanjian ini sudah pasti bakal memberi manfaat kepada Malaysia yang ketika ini sektor ekonomi digital menyumbang 18.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan dijangka meningkat kepada 20 peratus menjelang 2020,” katanya.

Objektif utama perjanjian itu ialah untuk melancarkan transaksi e-perniagaan rentas sempadan dengan mengurangkan halangan dan menurunkan kos permulaan.

Ia juga bakal menyelaraskan beberapa peraturan sedia ada bagi mewujudkan persekitaran yang meyakinkan dan boleh dipercayai dalam penggunaan e-perniagaan di rantau ini selain mahu mempromosikan pertumbuhan inklusif dan merapatkan jurang kemajuan di kalangan 10 negara ASEAN.

Berita Harian X