Jumaat, 17 Ogos 2018 | 12:55pm
Bank Negara Malaysia. - Foto Asyraf Hamzah
Bank Negara Malaysia. - Foto Asyraf Hamzah

Pengekalan harga RON95 bendung inflasi - BNM

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada RM2.20 seliter sejak 22 Mac 2018 membantu membendung inflasi bahan api daripada terus meningkat pada suku kedua tahun ini, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Langkah itu katanya, antara faktor yang turut menyebabkan kadar inflasi keseluruhan menurun adalah penetapan kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Inflasi menurun kepada 1.3 peratus pada suku kedua 2018 berbanding 1.8 peratus pada suku pertama.

“Ia mencerminkan terutamanya kesan daripada pelaksanaan kadar GST sifar. Bagaimanapun, impak pelaksanaan GST sifar ini telah diimbangi oleh inflasi pengangkutan yang lebih tinggi.

“Namun, langkah menetapkan harga runcit petrol RON95 sejak 22 Mac 2018 telah membantu membendung inflasi bahan api daripada terus meningkat pada suku berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BNM berkata, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada masa hadapan, meskipun dengan pelaksanaan SST.

“Pertumbuhan dijangka mampan, disokong terutamanya oleh aktiviti sektor swasta. Keadaan pasaran pekerja yang positif dan pengembangan kapasiti pengeluaran masing-masing akan terus menyokong penggunaan swasta dan pelaburan yang teguh.

“Meskipun inflasi keseluruhan diunjurkan sederhana, namun takat penurunannya akan bergantung pada kesan pindahan berikutan perubahan dasar cukai penggunaan.

“Inflasi asas, yang tidak mengambil kira kesan perubahan dasar cukai penggunaan, dijangka kekal stabil secara relatif pada suku-suku akan datang melalui sokongan perbelanjaan sektor swasta yang mampan,” katanya.

Asas makroekonomi Malaysia terus teguh lantas menyediakan penampan yang diperlukan untuk menguruskan secara berkesan kemungkinan kejutan terhadap ekonomi, katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X