Selasa, 21 Ogos 2018 | 10:52am
MOHD Redzuan Yusof berbual bersama Ketua Setiausaha Kementerian, Wan Suraya Wan Mohd Radzi (kiri) ketika tiba di KLIA sekembalinya dari lawatan kerja bersama Perdana Menteri ke Beijing, China. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Syarikat gelatin China buka loji di Melaka

SEPANG: Syarikat gelatin halal terbesar di Wilayah Gansu, China, Gansu Amin Bio Halal Gelatine Co Ltd (AMINBIO), akan membuka loji pembuatan bio-gelatin di Melaka yang dijangka mampu menarik nilai pelaburan sehingga RM1.02 bilion.

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof, berkata loji berkenaan akan menjadi kilang pertama syarikat berkenaan yang beroperasi di luar China serta terbesar di Asia Tenggara serta mampu mewujudkan kira-kira 2,200 peluang pekerjaan.

Katanya, langkah itu adalah hasil pertemuannya dengan Naib Presiden AMINBIO, Ayub Su, ketika menyertai delegasi Malaysia sempena lawatan kerja rasmi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ke China sejak 17 Ogos lalu.

Mohd Redzuan menjelaskan projek pelaburan itu akan membabitkan dua fasa yang mana fasa pertama akan membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM120 juta dan menyediakan kira-kira 200 peluang pekerjaan.

“Ini kemudiannya akan diteruskan dengan fasa kedua dengan pelaburan selanjutnya sebanyak RM900 juta dan mewujudkan kira-kira 2,000 lagi peluang pekerjaan.

“AMINBIO sedang berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) untuk mengenal pasti tapak yang sesuai untuk projek pelaburan ini. Wakil daripada PKNM Melaka turut menghadiri pertemuan ini.

“AMINBIO adalah sebuah syarikat yang berkembang dengan sangat baik selain mereka berkembang pesat dalam memanfaatkan pasaran dunia berkaitan produk halal.

“Mereka memerlukan bantuan Malaysia sebagai pemudah cara supaya projek pelaburan berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin yang mana kedua-dua pihak menjangkakan tempoh antara 14 hingga 16 bulan untuk menjayakan usaha ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik pulang dari lawatan kerja ke China bersama Dr Mahathir.

Beliau berkata, pihaknya juga mengadakan pertemuan bersama empat syarikat China bagi meneroka peluang pelaburan dan keusahawanan antara kedua-dua negara.

Katanya, pertemuan itu membabitkan bidang penyelidikan dan kajian, pelaburan sektor bio diesel dan tenaga solar.

“Semalam, kami mengadakan pertemuan dengan syarikat bio diesel China iaitu Sanju Environmental Protection & New Material Co Ltd yang berminat menembusi pasaran di Malaysia,” katanya.

Mengenai hasil lawatan kerja berkenaan, katanya perbincangan antara Dr Mahathir dan rakan sejawatannya, Li Keqiang, adalah sangat positif.

Katanya, China amat menyokong penuh dalam usahanya bagi meningkatkan ekonomi Malaysia.

“Saya boleh katakan lawatan ini amat bermakna yang dilihat terus berupaya memperkukuhkan hubungan dua hala yang terjalin selama ini,” katanya.

Berita Harian X