Rabu, 26 September 2018 | 1:04pm

ADB kurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Asia (ADB) mengurangkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 5.0 peratus tahun ini, berbanding unjuran 5.3 peratus sebelumnya.

Dalam laporan Kemas Kini Tinjauan Pembangunan Asia 2018, ADB turut mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun depan kepada 4.8 peratus berbanding 5.0 peratus sebelumnya.

Sementara itu, inflasi diunjurkan berkembang sederhana kepada 1.4 peratus tahun ini berbanding 2.6 peratus yang diunjurkan sebelum itu, namun meningkat kepada 2.0 peratus pada 2019 berbanding 1.8 peratus unjuran terdahulu.

Ia berkata, pelaburan di Malaysia adalah lebih berbanding jangkaan pada separuh pertama tahun ini, di tengah-tengah peralihan kepada kerajaan baharu, manakala dasar-dasar akan datang dijangka memihak perbelanjaan berbanding pelaburan.

ADB berkata, di sebalik pertumbuhan eksport separuh pertama yang kukuh di negara ini, peralihan kepada kerajaan baharu dan perubahan keutamaan dasar memberi kesan ke atas pelaburan sektor awam dan swasta.

Katanya, ia ditambah lagi dengan pertumbuhan sektor pertanian yang lebih lemah, dijejaskan oleh cuaca buruk serta penurunan harga sawit antarabangsa.

“Perbelanjaan di Malaysia dijangka melonjak pada suku ketiga 2018 apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang lebih luas selepas tempoh cuti cukai tiga bulan,” katanya.

Meskipun pertumbuhan KDNK Malaysia berkembang sederhana, ADB berkata jualan runcit di negara ini kekal teguh.

“Di Malaysia, ketidaktentuan yang dikaitkan dengan pilihan raya umum (PRU) selesai pada Mei dengan perubahan kerajaan, membolehkan indeks pengguna melonjak kepada 133 pada Jun, paras tertinggi dalam 21 tahun,” katanya.

ADB berkata, inflasi di Malaysia mencecah paras terendah dengan pengenalan semula subsidi bahan api dan tempoh cuti cukai tiga bulan selepas GST enam peratus dimansuhkan pada Jun, sebelum kemudiannya dengan gantikan dengan SST.

Katanya, harga sumber tenaga global yang lebih tinggi dilihat mengukuhkan eksport, walaupun ada arah aliran penurunan dalam harga sawit.

“Sementara itu, permintaan yang semakin meningkat bagi import pengguna berkemungkinan mengekalkan import yang tinggi, sekali gus mengurangkan lebihan akaun semasa keseluruhan,” katanya.

Berita Harian X