Khamis, 4 Oktober 2018 | 5:28pm
Richard Record pada sesi sidang video mengenai perkembangan ekonomi Asia Timur dan Rantau Pasifik oleh Bank Dunia, di Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim

Bajet 2019 penentu hala tuju Malaysia

KUALA LUMPUR: Pembentangan Bajet 2019 pada 2 November ini bakal menentukan ‘hala tuju’ Malaysia dalam mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara dan memberikan ‘petunjuk’ baharu kepada pelabur.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia (Malaysia), Richard Record, berkata Bajet 2019 sangat penting kerana ia akan memberikan penjelasan dan hala tuju bagi Malaysia.

“Belanjawan negara memang penting, tetapi kali ini ia lebih penting, kerana bakal menentukan bukan saja penetapan fiskal Malaysia untuk tahun depan tetapi tahun yang berikutnya.

“Ia akan memperlihatkan bagaimana kerajaan akan berusaha mengimbangi cabaran konsolidasi fiskal, pertumbuhan dan hutang.

“Paling penting, ini juga adalah peluang untuk menghantar isyarat kepada pelabur dan pelabur swasta mengenai pembaharuan serta peluang pertumbuhan yang dimiliki oleh negara ini,” katanya selepas sesi sidang video mengenai perkembangan ekonomi Asia Timur dan Rantau Pasifik oleh Bank Dunia, di sini, hari ini.

Record berkata, Malaysia sepatutnya memiliki ekonomi yang pelbagai bagi menyediakan sumber pertumbuhan yang berbeza.

Katanya, terdapat banyak peluang bagi negara ini melaksanakan pembaharuan struktur yang mengekang pertumbuhan Malaysia pada masa lalu.

“Pembaharuan struktur perlu dilaksanakan terutama dalam bidang seperti pendidikan, kemahiran, produktiviti, persaingan serta pengawal seliaan pasaran.

"Negara juga perlu memberi penekanan kepada kualiti bukannya kuantiti pertumbuhan. Jika kita melihat faktor risiko, ketidaktentuan, ketegangan perdagangan dan sebagainya.

“Fikirkan cara untuk melindungi orang miskin daripada kesan kejutan daripada beberapa isu seperti kos sara hidup, kesihatan, inflasi dan pertumbuhan upah,” katanya.

Selain itu katanya, di peringkat domestik, pelaksanaan beberapa janji pilihan raya sebelum ini akan memerlukan pengurusan risiko yang berpotensi.

“Perubahan pelaksanaan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan penyesuaian mekanisme penetapan harga minyak - tanpa adanya langkah pampasan mencukupi juga akan menghalang fiskal ruang dasar.

“Ia juga meletakkan lebih banyak kebergantungan kepada cukai langsung yang kurang stabil dan hasil berkaitan minyak,” katanya.

Berita Harian X