Rabu, 10 Oktober 2018 | 5:39pm
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Marsh Malaysia, Sean Chou bercakap kepada media selepas seminar bertajuk 'The Changing Landscape Of Risk: What Lies Ahead? 'di Le Meridien Hotel, KL Sentral. - Foto Saddam Yusoff

Sektor kewangan paling berisiko terhadap jenayah siber

KUALA LUMPUR: Industri perhidmatan kewangan dikenal pasti sebagai sektor paling berisiko terhadap ancaman jenayah siber di rantau Asia Pasifik, demikian menurut Marsh Insurance Brokers (Malaysia) Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sean Chou, berkata antara trend jenayah siber yang berlaku dalam industri berkenaan adalah penggodaman transaksi pelanggan termasuk perkhidmatan pembayaran antara bank.

Selain itu, katanya, eksploitasi maklumat kad pembayaran serta menggunakan ‘malware’ untuk memintas pengesahan pelbagai faktor pelanggan juga dikenalpasti sebagai ancaman dalam industri kewangan.

“Syarikat perlu sedar risiko yang sedang muncul berikutan perubahan landskap ekonomi dan politik global dalam usaha menguruskan perniagaan dan mengurangkan kerugian

“Pengurus perlu lebih mengetahui mengenai risiko baharu yang berlaku dengan penggunaan teknologi terkini dan kepesatan ekonomi baharu muncul.

"Risiko yang dihadapi oleh Malaysia bukanlah berbeza berbanding dengan negara Asia Pasifik, kecuali Malaysia berada dalam wilayah lebih selamat iaitu dilindungi daripada bencana alam,” katanya kepada media pada seminar ‘Perubahan Landskap Risiko’ yang dianjurkan oleh Marsh di sini, hari ini.

Chou berkata, walaupun 80 peratus penggodam mensasarkan rantau Asia berbanding benua lain, pelaksanaan langkah menghadapi risiko siber adalah sangat rendah berikutan kurangnya kesedaran.

Katanya, selain ancaman siber, risiko utama lain adalah kerugian kewangan akibat kekurangan kontinjen dan keupayaan atau bakat.

Sementara itu, Marsh yang juga firma broker antarabangsa unjuran dan penasihat risiko mengekalkan unjuran pertumbuhan operasinya sebanyak 18 peratus tahun ini.

Dengan kadar penembusan kurang daripada 10 peratus broker dalam pasaran insurans Malaysia, beliau berkata keadaan itu menawarkan peluang yang luas bagi kumpulan itu untuk meneroka pasaran tempatan.

"Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan kesedaran, terutama dalam risiko siber dan risiko perniagaan tidak ketara lain, untuk mewujudkan penyelesaian yang berbeza bagi setiap pelanggan," katanya.

18 dibaca
Berita Harian X