Selasa, 23 Oktober 2018 | 5:56pm
TERESA Kok

Ada ruang kukuh eksport minyak sawit ke China

NANJING: Masih ada ruang untuk meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia ke China memandangkan peningkatan berterusan permintaan dan penggunaan, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Beliau berkata tambahan 25 peratus cukai import yang dikenakan oleh China ke atas minyak kacang soya Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan penurunan import yang membawa kepada pengurangan bekalan minyak makan dan ini menyediakan peluang kepada Malaysia untuk meningkatkan eksport minyak sawit.

Eksport minyak sawit Malaysia ke China meningkat 9.3 peratus kepada 1.81 juta tan metrik bagi tempoh Januari hingga Ogos 2018, berbanding 1.65 juta tan metrik dalam tempoh yang sama pada 2017.

“Berdasarkan kepada prestasi semasa, eksport derivatif minyak sawit ke China dijangka menyamai atau malahan mengatasi jumlah tahun lalu,” kata Kok kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-China (POTS) 2018, di sini, hari ini.

Pada 2017, Malaysia mengeksport 2.87 juta tan metrik minyak sawit dan derivatif minyak sawit bernilai RM9.42 bilion ke China.

Mengenai berita China menimbang untuk membeli tambahan 500,000 tan metrik minyak sawit dari Malaysia seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa lawatan beliau baru-baru ini, Kok berkata pihak berkaitan sedang berbincang dan keputusan akhir dijangka diumumkan pada awal 2019.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor, berkata minyak sawit Malaysia penting kepada China kerana ia digunakan dalam pelbagai penggunaan.

“Walaupun minyak sawit di China kebanyakannya digunakan sebagai minyak untuk memasak bagi sektor perindustrian dan domestik, terdapat juga bahagian lain di mana penggunaan minyak sawit boleh diperluaskan lagi.

“Ini termasuk penggunaan dalam kuih muih seperti coklat, bakeri, serta kosmetik dan farmaseutikal. Saya malahan akan pergi mempromosikan biodiesel minyak sawit sekiranya China memutuskan untuk menetapkan mandat biodiesel pada masa depan,” katanya.

Yeow Chor berkata potensi penggunaan minyak sawit yang tinggi adalah amat besar memandangkan pembangunan pesat industri dan ekonomi China.

POTS 2018 yang bertemakan “Meningkatkan Perdagangan, Memaksimumkan Peluang menerusi Minyak Sawit Malaysia” adalah acara sehari yang dianjurkan bersama oleh MPOC dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan menarik 400 penyertaan dari Malaysia dan China.

-BERNAMA

48 dibaca
Berita Harian X