Isnin, 19 November 2018 | 3:47pm

Fitch Solutions semak turun unjuran ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Fitch Solutions Macro Research, unit Fitch Group, menyemak semula turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.6 peratus pada 2018 berbanding 5.1 peratus sebelumnya.

Ia susulan pertumbuhan suku ketiga yang lebih lemah berbanding jangkaan.

“Kami menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar 2018 kepada 4.6 peratus, berbanding 5.1 peratus sebelumnya dan unjuran 2019 kepada 4.2 peratus, daripada 4.5 peratus sebelumnya.

“Semakan semula 2018 ini mencerminkan keputusan suku ketiga yang lebih lemah daripada dijangkakan dan jangkaan kami bagi pertumbuhan akan terus perlahan pada suku keempat 2018,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia berkata, pertumbuhan Malaysia pada 2019 dijangka akan mendapat impak negatif daripada ketidaktentuan meluas daripada hampir semua komponen perbelanjaan KDNK, kecuali perbelanjaan swasta, yang dijangka akan disokong oleh bayaran balik pemulangan cukai yang besar, tahun depan.

Pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tempoh suku ketiga lalu berada pada 4.4 peratus, susut sedikit berbanding 4.5 peratus pada suku terdahulu.

Fitch Solutions berkata, semakan semula angka 2019 juga mencerminkan kebimbangannya terhadap pertumbuhan eksport dan pelaburan untuk tahun depan.

“Kami menjangkakan tinjauan luaran Malaysia bagi 2019 akan terjejas dengan negatif oleh gabungan kitaran sektor semikonduktor yang perlahan dan kemungkinan meningkatnya pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China di tengah-tengah harga sawit masih rendah, yang akan mempengaruhi imbangan perdagangan negara ini.

“Tambahan lagi, pelaburan khususnya pelaburan asing, dijangka kekal suram disebabkan oleh ketidaktentuan dasar yang berterusan,” katanya.

Fitch Solutions juga menyemak semula unjuran kadar faedah 2019 daripada 3.50 peratus kepada 3.25 peratus dan tidak lagi menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, susulan gambaran pertumbujan yang semakin melemah.

Malah, selepas semakan semula, risiko penurunan kepada unjuran OPR turut kekal.

Berita Harian X