Rabu, 21 November 2018 | 12:32pm
ONG Kian Ming. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Kajian semula NAP diumum suku pertama 2019

KUALA LUMPUR: Kajian semula Dasar Automotif Nasional (NAP) akan diumum pada suku pertama 2019, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Beliau berkata kementerian kini dalam proses menyemak semula dasar itu dan ia dijangka siap pada akhir tahun ini.

"Kami jangka (pengumuman NAP) pada suku pertama tahun depan, namun perlu berbincang dulu dengan pihak berkepentingan supaya ia turut memenuhi keperluan industri.

"NAP yang disemak semula itu akan meneliti seluruh ekosistem automotif dan menumpu kepada sambungan mobiliti, Revolusi Industri 4.0, kenderaan generasi baharu dan kecerdasan buatan (AI)," katanya pada Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIAC) 2018, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari dan Presiden Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad.

Sementara itu, Kian Ming berkata, kajian semula NAP itu juga akan menyentuh berhubung pembangunan projek kereta nasional ketiga.

"Kami sudah menerima lebih 20 kertas cadangan dari individu, sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan. Semua kertas cadangan ini sedang diteliti oleh kementerian.

"Antara penentu utama berhubung projek ini merangkumi sokongan kewangan kerana ia tidak akan menerima dana daripada kerajaan," katanya.

Mengulas lanjut, Kian Ming berkata, pasaran automotif global semakin beralih kepada pembangunan kereta elektrik serta hibrid dan Malaysia perlu mengikuti langkah itu untuk kekal berdaya saing di peringkat global.

"Bagi mencapai matlamat itu, Malaysia perlu mempunyai rakan teknologi yang kukuh untuk memberi kelebihan supaya dapat menembusi pasaran eksport, disebabkan pasaran domestik yang kecil," katanya.

147 dibaca
Berita Harian X