Khamis, 13 Disember 2018 | 7:53am
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan Internet of Things Malaysia (IoT) atau MARii, Datuk Madani Sahari. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

NAP baharu tumpu kenderaan generasi akan datang

KUALA LUMPUR: Dasar Automotif Nasional (NAP) baharu yang akan dilancarkan menjelang akhir tahun ini dijangka memberi tumpuan terhadap kenderaan generasi akan datang yang bercirikan pintar, saling berhubung selain memanfaatkan teknologi hijau.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan Internet of Things Malaysia (IoT) atau MARii, Datuk Madani Sahari, berkata NAP akan turut meninjau aspek mobiliti sebagai satu perkhidmatan.

“Kereta yang saling berhubung itu berpotensi mewujudkan peluang dan perniagaan baharu.

“Memandangkan kereta kini lebih bercirikan pintar dan saling berhubung, aspek mobiliti itu juga boleh menjadi skop penting dalam industri perkhidmatan," katanya kepada pemberita pada majlis taklimat memperkenalkan penjenamaan semula institut itu yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Automotif Malaysia, di sini.

Mengulas selanjutnya, Madani berkata dasar Industri 4.0 yang diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) baru-baru ini, juga berperanan sebagai pengubah bagi memacu kemajuan industri automotif dalam NAP tersebut.

Menurutnya, penjenamaan semula institut itu kepada MARii juga dapat memperluas skop agensi kementerian itu sebagai pusat tumpuan, penyelarasan dan kumpulan pemikir bagi mempertingkat daya saing menerusi penerapan dan pelaksanaan robotik dan IoT.

“Kedua-dua teknologi serba maju itu dijangka dapat mewujudkan pelbagai aplikasi rentas fungsi dalam pembuatan dan teknologi maklumat (IT) lanjutan berikutan aplikasi robotik dan IoT yang semakin menjadi keperluan asas, khususnya bagi mencapai pematuhan Industri 4.0," katanya.

Madani turut menyifatkan industri automotif sebagai pemacu utama robotik dan IoT yang mana 33 peratus daripada teknologi baharu itu digunakan dalam industri itu di peringkat global.

“Sehubungan itu, keseluruhan konsep Industri 4.0 sebagai satu dasar serta penjenamaan semula MARii sebagai agensi pelaksana, juga akan mempertingkat daya saing ekosistem automotif," katanya.

Jelasnya, menerusi kerjasama dengan MITI, institut itu berharap dapat mengenal pasti saluran baharu bagi mempercepat penerapan elemen robotik dan IoT dalam industri automotif selain berhasrat mewujudkan kesan limpahan teknologi bagi aplikasi di bidang lain. - BERNAMA

116 dibaca
Berita Harian X