Selasa, 18 Disember 2018 | 4:21pm
SHAH Mohd (tiga dari kiri) bergambar bersama usahawan bumiputera yang menyertai program Let’s Go Retail pada Majlis Pelancaran Produk Usahawan Bumiputera Yang Telah Berjaya Memasuki Pasaran Runcit Malaysia di Kinrara Resort, Puchong. - NSTP/Rosela Ismail

Usahawan kukuhkan pemasaran, pemangkin kebangkitan ekonomi negara

PUCHONG: Usahawan Bumiputera perlu meningkatkan jaringan pemasaran dan keboleh pasaran produk serta perkhidmatan untuk memperoleh pulangan baik masa depan, seterusnya menjadi penyumbang kepada kekuatan ekonomi negara.

Golongan usahawan terutama dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) harus menjadi pemangkin kepada kebangkitan ekonomi negara, selain sumber lain seperti petroleum dan percukaian.

Ketua Pegawai Eksekutif TriSuccess Global Sdn Bhd & Enchanted Touch Consultancy, Shah Mohd, berkata usahawan tempatan kini tidak boleh hanya memfokuskan kepada pemasaran dan pengeluaran bagi pasaran tempatan semata-mata, tetapi pada masa sama perlu memastikan produk serta perkhidmatan mereka mampu menembusi pasaran global.

“Malaysia sendiri memiliki sumber terbaik dan berkualiti yang mempunyai nilai tinggi dalam pasaran. Malah, ramai dalam kalangan usahawan Bumiputera kita mempunyai produk serta perkhidmatan berkualiti dan selamat.

“Bagaimanapun, mereka berdepan kekangan untuk menonjolkan identiti produk mereka bagi menyaingi pasaran lebih meluas,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Pemasaran Produk Usahawan Bumiputera ke Dalam Pasaran Runcit Malaysia dan pelancaran produk usahawan Bumiputera yang memasuki pasaran runcit Malaysia, di sini, hari ini.

Mengambil contoh Jepun dan Korea, beliau berkata, dua negara berkenaan mengambil pendekatan untuk ‘menjual’ (mempromosikan) budaya mereka ke dalam produk atau perkhidmatan yang dipasarkan.

“Pendekatan ini boleh dijadikan panduan kepada usahawan Bumiputera tempatan untuk menonjolkan keunikan serta kekuatan warisan Malaysia itu sendiri. Kita perlu mengukuhkan identiti produk untuk mencipta kelainan tersendiri, seterusnya berdepan saingan di peringkat global,” katanya.

Selain itu katanya, pihaknya turut memperkenalkan program ‘Let’s Go Retail’ iaitu satu platform bagi membantu usahawan menguasai pasaran runcit secara optima.

“Pada peringkat permulaan, program berkenaan disertai 15 produk usahawan yang berjaya memasuki pasaran runcit di negara ini dan disasarkan jumlah itu meningkat sehingga 50 produk menjelang pertengahan tahun depan,” katanya.

Tambahnya, pasaran runcit di negara ini bukan pasaran baharu tetapi pembabitan usahawan Bumiputera dalam pasaran adalah sangat terpencil.

“Dianggarkan pembabitan mereka antara tiga hingga empat peratus. Oleh itu, menerusi program yang diusahakan dan kerjasama daripada pelbagai agensi berkaitan dapat membantu meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam pasaran, seterusnya mampu mencapai peningkatan kira-kira 20 peratus hingga 30 peratus pada masa depan,” katanya.

229 dibaca
Berita Harian X