Selasa, 1 Januari 2019 | 2:37pm

Perkembangan luar penentu hala tuju ekonomi negara 2019

KUALA LUMPUR: Risiko terhadap pertumbuhan bagi ekonomi Malaysia tahun ini adalah perkembangan luaran, khususnya peningkatan ketegangan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Selain itu, dasar monetari dalam ekonomi utama, hala tuju minyak mentah dan ketidaktentuan politik dan sosial ekonomi di Eropah juga menjadi perhatian pada 2019.

Kebanyakan ahli ekonomi mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang di bawah 5.0 peratus pada 2019 dengan permintaan domestik kekal sebagai pemacu pertumbuhan.

Mengenai perkembangan pasaran ekuiti tempatan, kebimbangan terhadap hutang dan liabiliti kerajaan yang tinggi; pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan; harga jalur lebar yang lebih rendah; penangguhan dan semakan semula kos projek infrastruktur mega dan kebimbangan terhadap cukai baharu antara perkembangan domestik yang memberi kesan kepada pasaran selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)

Pada masa sama, ketidaktentuan luaran yang ditimbulkan perang perdagangan AS-China dan peningkatan kadar faedah AS juga memberi tekanan kepada prestasi pasaran tempatan.

Pengaliran keluar dana asing daripada pasaran tempatan dan aliran menurun harga minyak sawit mentah (MSM) juga menjejaskan pasaran saham tempatan.

Bagi 2019, kebanyakan pemerhati pasaran mengunjurkan indeks penanda aras pasaran saham tempatan dijangka berada pada paras lebih 1,800 mata menjelang akhir tahun depan.

Selepas mencatatkan pertumbuhan kukuh di luar jangkaan sebanyak 5.9 peratus pada 2017, persekitaran global yang mencabar memperlihatkan ekonomi negara menyederhana pada 2018.

Namun, permintaan domestik yang kekal utuh menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negara meskipun kebanyakan ekonomi utama global terus mencatatkan pertumbuhan sederhana.

Pada suku pertama 2018, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.4 peratus, kemudian berkembang 4.5 peratus pada suku kedua dan seterusnya menyederhana kepada 4.4 peratus pada suku ketiga 2018.

Pertumbuhan sederhana pada suku ketiga itu adalah berikutan pertumbuhan perlahan dalam sektor pertanian dan perlombongan.

Kebanyakan ahli ekonomi mengunjurkan KDNK negara ini akan berkembang di bawah paras 5.0 peratus bagi 2018 sejajar dengan unjuran kerajaan semasa yang menyemak semula unjuran KDNK bagi 2018 kepada 4.8 peratus berbanding unjuran sebelum ini 5.0 peratus hingga 5.5 peratus.

Semakan semula unjuran pertumbuhan itu sejajar dengan pelarasan pasca PRU-14 serta mengambil kira perkembangan luaran yang mencabar.

Tarikh 9 Mei 2018 menjadi tarikh bersejarah bagi Malaysia dengan berlakunya perubahan kerajaan yang tidak pernah berlaku selepas 61 tahun susulan keputusan PRU-14 yang memperlihatkan parti pemerintah, Barisan Nasional tewas kepada Pakatan Harapan.

Kemenangan Pakatan Harapan itu mendorong kepada perubahan dasar dan penstrukturan semula kerana kerajaan baharu memberi keutamaan kepada isu kos sara hidup yang tinggi, kedudukan kewangan dan lembaran imbangan kerajaan bagi memastikan kemampanan jangka panjang.

Dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada 2 November 2018, kerajaan mengumumkan bagi tempoh tiga tahun akan datang, ia komited dalam melaksanakan langkah konsolidasi fiskal untuk mengurangkan defisit kepada 3.4 peratus daripada KDNK pada 2019, 3.0 peratus pada 2020 dan 2.8 peratus pada 2021.

Dalam jangka masa sederhana, defisit dijangka akan terus berkurangan kepada sekitar 2.0 peratus.

Pendedahan bahawa defisit fiskal dan hutang Malaysia lebih tinggi daripada dijangkakan menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan tindakan menurunkan penarafan hutang negara ini oleh beberapa agensi penarafan kredit antarabangsa.

Namun begitu, setakat ini, belum ada tindakan segera menurunkan penarafan oleh firma penarafan antarabangsa selepas pengumuman Belanjawan 2019.

Malah, pada 7 Disember 2018, Moody’s mengesahkan penarafan kredit A3 bagi penerbit mata wang asing dan tempatan serta hutang tidak bercagar kerajaan, dengan tinjauan kekal stabil.

Berita Harian X