Selasa, 8 Januari 2019 | 6:26pm
Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyampaikan ucapan pra-pelancaran Ekspo Halal Malaysia 2019 di MaGIC Cyberjaya hari ini. Foto BERNAMA.

Sasar industri halal tempatan tembusi Olimpik Tokyo

CYBERJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menyasarkan potensi jualan RM50 juta melalui 300 sesi padanan perniagaan dan 20 pembeli dari Jepun sempena penganjuran Ekspo Halal Malaysia 2019 (MHE 2019).

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, berkata ekspo yang bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Januari 2019 itu bertujuan mempromosikan produk dan perkhidmatan halal sebagai inisiatif kepada pelaburan dan perdagangan antara Malaysia dan Jepun.

Ia juga adalah susulan daripada Memorandum Kerjasama (MoC) dalam bidang halal antara kerajaan Malaysia dan Jepun yang dimeterai pada 26 November 2018 bertujuan memastikan industri halal Malaysia dapat meneroka pasaran Jepun menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Penganjuran MHE 2019 ini adalah amat tepat dan mempunyai impak tinggi terhadap kedudukan Malaysia dalam pasaran industri halal dunia,” katanya dalam sidang media selepas prapelancaran MHE 2019 di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Hatta Ramli.

Ekspo halal yang menyasarkan 10,000 pengunjung itu menyediakan sebanyak 320 ruang pameran membabitkan usahawan dari enam kluster iaitu makanan dan minuman (F&B), bahan ramuan, bioteknologi, kosmetik, penjagaan kesihatan dan farmaseutikal serta logistik.

Mohd Redzuan berkata, kementerian berhasrat menarik penyertaan daripada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara yang mempunyai potensi untuk menembusi pasaran halal di luar negara bagi membabitkan diri dalam MHE 2019 ini.

“Ekspo ini akan memberi gambaran lebih jelas ke atas proses akreditasi dan pensijilan yang berkaitan untuk dipatuhi dalam usaha menjadi usahawan yang sedia untuk mengeksport.

“Kami berharap ia akan memberi manfaat kepada industri PKS dan usahawan untuk memajukan perniagaan di peringkat antarabangsa dan kami sentiasa komited untuk memastikan keperluan usahawan tempatan dengan memberikan khidmat sokongan keusahawanan yang terbaik,” katanya.

MHE 2019 turut mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Institusi-institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM).

Berita Harian X