Khamis, 10 Januari 2019 | 8:51pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tiga dari kanan) bersama CEO Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi (dua dari kanan) ketika gimik Majlis Pelancaran ibu pejabat korporat baharu Celcom di Petaling Jaya. Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (tiga dari kanan) bersama CEO Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi (dua dari kanan) ketika gimik Majlis Pelancaran ibu pejabat korporat baharu Celcom di Petaling Jaya. Foto NSTP/Syarafiq Abd Samad.

Kerajaan kaji semula dasar perluas teknologi tanpa wayar

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mengkaji semula beberapa dasar terutama mengenai spektrum dan struktur industri, dalam usaha meluaskan teknologi tanpa wayar, kata Menterinya Gobind Singh Deo.

Beliau berkata usaha itu seiring dengan misi kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara digital.

“Teknologi tanpa wayar adalah penting untuk mencapai objektif ini dan kementerian saya sedang mengkaji beberapa dasar, terutama mengenai spektrum dan struktur industri untuk mewujudkan industri yang lebih mampan dan situasi menang-menang bagi rakyat, kerajaan dan pengendali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada pelancaran pejabat korporat baharu Celcom Axiata di sini, hari ini.

Gobind berkata akses ke capaian internet, berwayar atau tanpa wayar, membuka seluruh dunia kepada pengguna dan beliau percaya ini adalah antara satu yang paling berkesan untuk memperkasakan rakyat.

Gobind berkata peningkatan akses internet adalah penting untuk membentuk masa depan ekonomi Malaysia.

“Pelan Tindakan Malaysia bagi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), yang dikenali sebagai Industry4WRD, telah pun dibentang oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Tidak mustahil, sokongan kuat daripada peserta industri, pihak berkepentingan dan pemboleh teknologi seperti Celcom akan menjadi pemangkin kejayaannya,” katanya.

Berita Harian X