Isnin, 14 Januari 2019 | 3:03pm
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Masih banyak PKS tidak tahu kewujudan pembiayaan Islam

BAYAN LEPAS: Kira-kira 60 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) didapati tidak mengetahui adanya kemudahan pembiayaan perniagaan patuh Syariah, dengan majoriti masih menggunakan pembiayaan konvensional.

Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid, berkata segelintir pihak mungkin mempunyai tanggapan bahawa kewangan Islam hanya untuk komuniti Islam.

“Hari ini, kami berharap dapat memperbetulkan persepsi ini dan mewujudkan lebih banyak kesedaran mengenai apa yang ditawarkan oleh kewangan Islam,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Islamic Finance Rendezvous Series di sini, hari ini.

Adnan Zaylani berkata, kewangan Islam telah berkembang daripada pasaran khusus ke pasaran lebih meluas dengan aset perbankan Islam berjumlah RM874 bilion atau 30.4 peratus daripada jumlah aset perbankan pada akhir September tahun lalu dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 10 peratus dalam tempoh tiga dekad.

Katanya, hujung tahun ketiga tahun lalu juga menyaksikan sumbangan takaful berjumlah RM1.7 bilion dengan penembusan pasaran pada 15 peratus.

“Pertumbuhan kewangan Islam di Malaysia berdaya tahan dan menyokong perkembangan sosial dan ekonomi. Apa yang mendasari pertumbuhan ini adalah asas yang teguh, yang dibawakan oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia, bersama-sama dengan industri, dalam pembangunan infrastruktur, bangunan institusi, rangka kerja pengawalan yang kukuh dan pembangunan produk.

“Kami kini berada di tahap di mana kita melihat bahawa asas-asas adalah kukuh dan industri bersedia untuk menawarkan penyelesaian bagi memenuhi keperluan pelanggannya,” katanya.

Katanya, antara produk kewangan Islam yang ditawarkan kepada PKS adalah pembiayaan rantaian bekalan, yang membolehkan perniagaan terutamanya PKS, memanfaatkan kelayakan kredit pembekal atau pembeli utama untuk mendapatkan pembiayaan pada kadar lebih murah.

“Antara lain adalah perlindungan produk takaful pada harga yang kompetitif, Platform Akaun Pelaburan (IAP) dan sukuk sebagai alternatif untuk pembiayaan perniagaan,” katanya.

Adnan Zaylani berkata, di peringkat kebangsaan, kerajaan menyokong peranan kewangan Islam sebagai alat penting untuk membantu ekosistem PKS berkembang maju yang mana kerajaan mewujudkan Skim Pembiayaan Terhad Syariah PKS bernilai RM1 bilion.

“PKS berpeluang menikmati kos pembiayaan yang lebih rendah dengan skim ini di mana pengurangan dua peratus kadar pembiayaan,” katanya.

Berita Harian X