Isnin, 14 Januari 2019 | 5:18pm
SABIN Samitah ketika menyampai ucaptama pada dialog KPMG bersama LHDN. - BERNAMA

LHDN guna media sosial pantau kekayaan luar biasa

PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan platform media sosial bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang memiliki harta atau kekayaan luar biasa tetapi gagal mengisytiharkan cukai pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata pasukan khas ditubuhkan pada September tahun lalu bagi memantau golongan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai sistem untuk mengumpul maklumat daripada media sosial terutama membabitkan e-dagang.

"Pegawai kami akan pergi kepada medium terutama mereka yang menawarkan perkhidmatan atau menjual produk menerusi media sosial.

"Lazimnya, mereka yang menawarkan perkhidmatan atau menjual produk (menerusi media sosial) akan memberikan nombor akaun bank," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama sempena Dialog KPMG dengan LHDN di sini, hari ini.

Sabin berkata, setakat ini, kira-kira 80,000 pembayar cukai merangkumi individu dan syarikat dikenal pasti gagal membayar cukai pendapatan.

Mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), beliau berkata, maklum balas yang diterima pihaknya adalah memberangsangkan.

Katanya, program itu dilaksanakan untuk pembayar cukai melaporkan pendapatan yang belum dilaporkan atau terkurang daripada yang dikemukakan kepada LHDN sebelum ini.

Individu yang tampil membuat pengakuan sehingga 30 Jun 2019 hanya dikenakan penalti antara 10 peratus dan 15 peratus, manakala penalti asal antara 80 peratus hingga 300 peratus dikenakan bagi mereka yang gagal membuat pengakuan dalam tempoh ditetapkan, jelas Sabin.

LHDN menjangkakan kutipan cukai RM10 bilion di bawah PKPS.

Mengulas mengenai pembayaran balik cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah berjumlah kira-kira RM16 bilion, Sabin berkata, ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X