Selasa, 29 Januari 2019 | 4:21pm
Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking. Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin.

Perluas capaian jalur lebar ke pedalaman - MITI

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan internet digesa memperluaskan capaian jalur lebar ke kawasan perkampungan dan pedalaman negara ini dalam usaha meningkatkan penyertaan usahawan wanita dalam sektor e-dagang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking, berkata beliau melihat e-dagang dari perspektif bukan jantina dan amat penting memastikan golongan wanita menyertai sektor berkenaan.

"Ada ramai usahawan wanita di bahagian pedalaman Sabah seperti Kudat, Sipitang dan Pintas.Bagaimanapun, mereka berkemungkinan besar tidak dapat menyertai e-dagang ini disebabkan kekurangan kemudahan kesalinghubungan (internet) serta tanggungjawab kepada keluarga masing-masing. Oleh itu, kita perlu memberi kemudahan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar Dialog Awam Swasta Mengenai Wanita Dalam Ekonomi Digital dan Perdagangan Antarabangsa di sini, hari ini.

Dialog separuh hari yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, diadakan bersempena penganjuran Bengkel Perdagangan Inklusif Dalam Komanwel oleh Pusat Sekretariat dan Perdagangan Antarabangsa Komanwel (ITC).

Mengulas lanjut, Darell turut menyifatkan ekonomi digital dan perdagangan itu sebagai platform bagi pembangunan Malaysia yang diketahui amat aktif dalam usaha promosi e-dagang sejajar aspirasi menjadi hab sektor itu bagi rantau ASEAN.

Malah, pada 12 November 2018, Malaysia memeterai Perjanjian Perdagangan Elektronik ASEAN yang juga kesepakatan 10 negara anggota blok itu bagi melancarkan transaksi rentas sempadan e-dagang dengan mengurangkan halangan dan kos kemasukan berkaitan.

Perjanjian itu, katanya turut membuktikan komitmen Malaysia untuk melonjakkan e-dagang di negara ini

Terdahulu dalam ucapan perasmian, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut berkongsi pendirian Malaysia yang mengiktiraf kepentingan ekonomi digital dan telah melancarkan pelbagai inisiatif bagi merancakkan pembabitan perniagaan tempatan dalam e-dagang selain kemudahan akses ke pasaran global.

“Ekonomi digital itu telah mengubah transaksi tradisional kita. Orang ramai kini membeli-belah secara dalam talian, menggunakan kad bank tanpa sentuh dan kiriman wang menerusi platform seperti PayPal.

“Apa lebih utama, kita perlu memastikan perubahan ini tidak menjejaskan wanita. Tanpa menolak risiko jurang digital, usahawan wanita itu perlu merebut peluang yang diwujudkan ekonomi digital bagi memperlengkap diri masing-masing dengan elemen serta platform tepat untuk pengembangan perniagaan dan usaha sama mereka,” katanya.

Berita Harian X