Jumaat, 15 Februari 2019 | 6:41pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. Foto NSTP/Hafiz Sohaimi.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. Foto NSTP/Hafiz Sohaimi.

Kerajaan pertimbang kaedah baharu akses jalur lebar lebih baik

PUCHONG: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sudah mengadakan rundingan dengan beberapa penyedia teknologi untuk membolehkan kerajaan mempertimbang langkah lain yang boleh diguna untuk mendapatkan akses jalur lebar lebih baik.

Menterinya, Gobind Singh Deo, berkata bagi mendapatkan akses yang lebih baik, kerajaan tidak hanya bergantung kepada sambungan fiber optik semata-mata kerana sukar dipasang di kebanyakan kawasan pedalaman.

Bagaimanapun, beliau berkata maklumat lanjut mengenai pihak yang terbabit hanya akan diumumkan dalam satu acara di Pulau Pinang pada Isnin ini.

“Apa yang boleh saya katakan, kawasan yang berbeza akan menggunakan teknologi yang berbeza dan KKMM akan sentiasa membuat hebahan mengenai kawasan yang terbabit.

“Kerajaan kini bergerak agresif dalam merealisasikan perkara ini kerana kami tidak mempunyai masa. Justeru, kami cuba untuk memastikan seluruh negara mendapat akses jalur lebar yang lebih baik, terutama di kawasan sekolah kerana mahu memastikan kualiti pendidikan di seluruh negara bertambah baik.

“Ini kerana pendidikan juga memerlukan perspektif digital,” katanya pada sidang media selepas program ‘Coffee with YB Minister’ di sini, hari ini.

Program berkenaan adalah inisiatif bersama MYNIC yang juga agensi di bawah KKMM dan Interbase Resource Sdn Bhd (Lelong.my).

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Ketua Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan dan Pengarah Bersama Lelong.my, Richard Tan.

Mengulas lanjut, Gobind berkata rundingan dengan pihak terbabit menumpukan mengenai teknologi baharu yang dimiliki untuk berdepan dengan isu sambungan jalur lebar.

“Kami turut membincangkan mengenai masalah serta cabaran yang ada kerana isu sambungan jalur lebar ini adalah isu yang membabitkan beberapa lapisan dimensi,” katanya.

Berita Harian X