Selasa, 12 March 2019 | 11:19am
Ketua Ahli Ekonomi AmBank Researc, Dr Anthony Dass.

Pertumbuhan sederhana ekonomi beri tekanan pengangguran

KUALA LUMPUR: Tinjauan pertumbuhan ekonomi domestik yang sederhana dijangka memberikan tekanan kepada pengangguran tahun ini, demikian menurut AmBank Research.

Ketua Ahli Ekonominya, Dr Anthony Dass, memberi peringatan bahawa kadar pengangguran di Malaysia tahun ini boleh kembali ke paras 3.5 peratus yang kali terakhir disaksikan pada 2016.

Beliau berkata, kadar pengangguran pada Januari kekal pada 3.5 peratus buat bulan keempat berturut-turut, manakala kadar pengambilan kerja berkembang perlahan, apabila hanya menambah 6,800 pekerjaan berbanding 44,700 pada Disember 2018.

“Sementara itu, kadar penyertaan tenaga kerja (LFPR) meningkat kepada 68.6 peratus pada Januari daripada 68.5 peratus pada Disember.

“Melihat kepada sektor tidak formal, ia meningkat 0.5 peratus tahun ke tahun pada Januari berbanding dengan 0.4 peratus pada Disember. Kami menyedari trend pertumbuhan dalam segmen ini semakin meningkat sejak Julai 2018.

“Dengan tinjauan pertumbuhan domestik sederhana pada 4.5 peratus, akan berlaku tekanan meningkat bagi pengangguran pada 2019. Ruang bagi pengangguran untuk mencecah 3.5 peratus pada tahun ini berbanding 3.3 peratus pada 2018 kekal tinggi,” katanya dalam satu nota ekonomi, hari ini.

Beliau berkata, dengan menggunakan sektor pembuatan sebagai proksi, gaji berkembang 10.1 peratus tahun ke tahun pada Disember 2018 berbanding sembilan peratus pada November.

Manakala, produktiviti buruh dalam sektor berkenaan meningkat sedikit kepada 2.5 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2018, berbanding 2.2 peratus pada suku ketiga 2018.

Berita Harian X