Rabu, 27 March 2019 | 3:23pm
TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming.

MITI komited adakan konsultasi semakan semula NAP

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) komited untuk mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak berkepentingan utama mengenai semakan semula Dasar Auomotif Negara (NAP), yang akan memberi tumpuan terhadap keseluruhan sektor automotif, termasuk rantaian bekalan dan nilai.

Timbalan Menteri Dr Ong Kian Ming, berkata semakan semula NAP masih dijalankan dan belum dimuktamadkan.

“Adalah amat malang bahawa Anggota Parlimen (MP) Rembau Khairy Jamaluddin memilih untuk mengetengahkan satu rujukan kecil kepada teknologi khusus (bagi tujuan penetapan piawaian) dalam dokumen perbincangan, daripada memberikan perhatian terhadap cabaran lebih besar yang dihadapi, iaitu bagaimana untuk membangunkan dan mengembangkan seluruh landskap automotif di Malaysia.

“MITI terbuka untuk menimbangkan sebarang cadangan konkrit daripada MP Rembau berhubung sektor automotif,” katanya dalam kenyataan bagi menjawab ciapan Khairy di Twitter berhubung dokumen semakan semula NAP berhubung “kenderaan terbang”.

Ong berkata, dokumen itu adalah sebahagian daripada pembentangan oleh MITI kepada pihak berkepentingan dalam industri automotif yang terbabit dalam semakan semula dasar automotif itu.

Beliau berkata, pembentangan itu mengandungi penafian yang dengan jelas menyatakan dokumen itu adalah draf dan disediakan hanya untuk tujuan perbincangan dan tertakluk kepada perubahan dan tidak diperakukan kerajaan Malaysia”.

Timbalan menteri juga berkata dalam dokumen konsultasi yang sama, perbincangan berhubung projek kereta nasional yang baharu menumpu kepada teknologi baharu, termasuk jangkaan kenderaan generasi akan datang (NxGV), yang adalah kenderaan cekap tenaga (EEV) selaras Revolusi Perindustrian 4.0 dan kecerdasan buatan, serta bercirikan mobiliti sebagai perkhidmatan.

“Tiada langsung disebut kenderaan terbang dalam perbincangan mengenai projek kereta nasional,” katanya.

“Slaid yang ditunjukkan oleh MP Rembau dalam Ciap beliau adalah di bawah topik kecil pembangunan ekonomi dan dalam konteks untuk menetapkan piawaian dan spesifikasi bagi banyak jenis kenderaan termasuk NxGV, kenderaan komersial dan motosikal yang adalah EEV dan/atau kenderaan elektrik.

Ong berkata, kenderaan terbang dimasukkan dalam perbincangan itu bertujuan untuk menangani keperluan bagi piawaian dan peraturan sekiranya ada permintaan bagi aplikasi teknologi seumpama itu oleh industri automotif di masa depan. - BERNAMA

62 dibaca
Berita Harian X