Rabu, 27 March 2019 | 5:11pm

mySalam pemangkin pembangunan insurans dan takaful Malaysia

KUALA LUMPUR: Skim Perlindungan Nasional B40, mySalam menyediakan manfaat ekonomi jangka panjang lebih besar untuk negara menerusi perkongsian kekayaan dan kadar penembusan insurans dan takaful yang tinggi.

mySalam juga dijangka akan memainkan peranan sebagai pemangkin utama dalam pembangunan produk serta perkhidmatan insurans dan takaful di Malaysia.

Menurut Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018 Bank Negara Malaysia (BNM), skim berkenaan membuka peluang unik kepada peserta industri untuk memahami secara mendalam mengenai keperluan pelanggan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melindungi diri mereka daripada kejutan kewangan menerusi perlindungan insurans dan takaful.

Katanya, halangan untuk mendapatkan perlindungan insurans dan takaful mampu milik dan bersesuaian masih wujud kerana produk sedia ada di pasaran lebih sesuai untuk memenuhi keperluan segmen pasaran mewah.

“Kerumitan produk dan proses turut menyebabkan insurans dan takaful sukar difahami oleh sebahagian besar masyarakat. Hal ini menyebabkan permintaan terhadap insurans dan takaful kurang menggalakkan, terutamanya dalam kalangan B40.

“Berdasarkan kajian pengguna dalam Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan Dari Segi Permintaan (FCI) 2018, tiga daripada lima responden dalam kalangan mereka yang tidak pernah

membeli produk insurans dan takaful menyatakan tidak mempunyai pengetahuan asas tentang insurans dan takaful, tidak tahu cara untuk menilai atau memilih produk itu.

“Selain itu, kekangan kewangan dan maklumat yang sering dihadapi golongan B40 menambahkan lagi kesulitan mereka untuk membuat keputusan tentang pembelian insurans dan takaful,” katanya.

Justeru, BNM berkata, tujuan skim itu diadakan bagi memberi memberi peluang kepada B40 merasai sendiri manfaat kewangan daripada insurans dan takaful, serta meningkatkan pengetahuan positif dan keyakinan terhadap prosedur berkaitan.

“Skim ini dapat menangani risiko kehilangan punca pendapatan yang dihadapi oleh golongan B40 untuk sementara waktu menerusi perlindungan insurans dan takaful,” katanya.

mySalam yang diperkenalkan kerajaan berkuat kuasa 1 Januari lalu, bertujuan mengurangkan bebanan golongan isi rumah berpendapatan (B40) yang mudah terjejas akibat kejutan kewangan sekiranya dimasukkan ke hospital atau mendapat penyakit kritikal yang tidak dijangka.

Ia disediakan bagi penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat dalam kalangan isi rumah layak berusia antara 18 hingga 55 tahun.

Skim itu akan dibiayai industri insurans dan takaful. Dana permulaan akan disediakan oleh pemegang saham syarikat insurans asing yang memilih untuk memberi sumbangan kepada skim ini sebagai alternatif kepada komitmen mereka bagi mengurangkan pegangan saham mereka kepada tidak lebih daripada 70 peratus.

Selain itu, satu tabung amanah juga diwujudkan bagi mengurus sumbangan daripada penanggung insurans dan pengendali takaful kepada skim berkenaan.

Berita Harian X