Selasa, 2 April 2019 | 11:40am

AS akan siasat ribuan kebakaran berkaitan kenderaan Hyundai, Kia

WASHINGTON: Pengawal selia kenderaan Amerika Syarikat (AS) berkata ia akan membuka siasatan ke atas tiga juta kenderaan Hyundai Motor Co dan Kia Motors Corp selepas mengkaji laporan lebih daripada 3,000 kebakaran yang mencederakan lebih 100 orang.

Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Kebangsaan (NHTSA) berkata, siasatan itu adalah sebagai tindak balas kepada petisyen yang meminta siasatan dijalankan yang difailkan Jun oleh Pusat Keselamatan Auto.

Siasatan itu meliputi Kia Optima dan Sorento 2011-2014 dan Kia Soul 2010-2015 , bersama dengan Hyundai Sonata dan Santa Fe 2011-2014.

Siasatan itu menghidupkan semula kebimbangan berhubung kenderaan dari Korea Selatan, yang sudah pun disiasat oleh pengatur selia dan pendakwa raya AS berhubung kenderaan yang dipanggil semula kerana masalah berkaitan enjin.

Hyundai dan Kia bersama-sama memanggil semula lebih 2.3 juta kenderaan sejak 2015 untuk menangani pelbagai risiko kebakaran enjin.

Saham Hyundai Motor jatuh 2.5 peratus pada dagangan pagi di Seoul, manakala Kia Motors turun 1.1 peratus.

Hyundai, dalam satu kenyataan berkata ia akan bekerjasama dan menambah bahawa ia berada dalam "dialog yang kerap, terbuka dan telus berhubung kebakaran enjin tidak berkaitan pelanggaran."

Kia berkata, ia akan terus bekerjasama dengan NHTSA dan "secara terbuka berkongsi maklumat dan data dengan NHTSA berhubung semua perkara berkaitan keselamatan kenderaan."

NHTSA berkata, keputusan untuk memulakan siasatan itu berdasarkan analisis maklumat yang diterima daripada pelbagai pengilang, aduan pengguna dan sumber lain.

Agensi itu berkata, sementara siasatan sebelum ini merangkumi, terutama, perkara berkaitan kebakaran enjin, siasatan baharu itu "tidak terhad kepada komponen enjin dan boleh meliputi sistem kenderaan atau komponen tambahan." - Reuters

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X