Selasa, 2 April 2019 | 1:54pm
Mujahid (tengah) bersama Mohd Hatta (kanan) serta Syed Hussein (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara Noor Azmi (dua dari kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh pada Majlis Pelancaran Program Tunas Usahawan Baitulmal di Kuala Lumpur. - NSTP/Salhani Ibrahim

SME Corp sasar lahir 500 usahawan Program TUBE 6.0

KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) menyasar untuk melahirkan 500 usahawan belia menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 6.0 yang akan dilancarkan esok.

Ketua Eksekutifnya, Noor Azmi Mat Said, berkata sejak dilancarkan pada 2014, program berkenaan sudah melahirkan seramai 4,422 usahawan belia di negara ini.

“Usahawan terbabit berjaya meneroka perniagaan dalam segmen pertanian, peruncitan, rekaan dan hiasan dalaman, pengurusan acara dan sebagainya.

“Bagi Program TUBE tahun ini, ia akan dilancarkan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dan perincian lanjut mengenai program berkenaan akan dibuat esok,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Program Tunas Usahawan Baitulmal (PTUB) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Sr Mujahid Yusof dan Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

PTUB adalah program usahasama antara SME Corp dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bertujuan membantu usahawan Baitulmal memulakan perniagaan akan ingin mengembangkan perniagaan sedia ada.

Sementara itu, Dr Mohd Hatta berkata Program TUBE kini sudah berjaya mencatat jualan terkumpul mencecah RM100 juta sejak penubuhannya.

“Program berkenaan juga berjaya mencipta hampir 8,000 pekerjaan baharu menerusi perniagaan yang dijalankan usahawan terbabit.

“Menerusi Program TUBE, SME Corp akan memberikan modal permulaan berjumlah RM15,000 untuk usahawan terpilih mengembangkan perniagaan.

“Seterusnya, kami akan membuat pemantauan susulan dan jika usahawan berkenaan memerlukan dana tambahan untuk mengembangkan perniagaan mereka, kami akan memberikan bantuan selanjutnya,” katanya.

Berita Harian X