Jumaat, 5 April 2019 | 8:05am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Indonesia sekat import minuman keras EU

BRUSSELS: Pengeluar minuman keras Eropah berkata mereka berhadapan kesukaran mengeksport minuman ke Indonesia di tengah-tengah ketegangan selepas Jakarta mengatakan tidak puas hati berhubung keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang berpandangan minyak sawit tidak seharusnya dianggap bahan bakar hijau.

SpiritsEurope, yang mewakili pengeluar minuman keras utama Eropah, berkata ia difahamkan daripada ahlinya yang berniaga di Indonesia bahawa mereka mengalami kelewatan dalam mendapatkan kelulusan bagi mengimport produk EU ke negara itu.

Indonesia mengendalikan import alkohol melalui rancangan import dan pengedaran tahunan.

Pengeluar minuman keras mendapati bahawa produk bukan EU, seperti tequila, mendapat kelulusan, tetapi produk asal EU tidak, kata sumber industri.

Diageo, syarikat minuman keras terbesar dunia, enggan mengulas.

Jurucakap kementerian perdagangan Indonesia berkata dia tidak mengetahui akan sebarang isu.

Suruhanjaya Eropah, yang mengawasi dasar perdagangan untuk 28 negara EU, Mac lalu memutuskan bahawa penanaman sawit pada umumnya menyebabkan hutan ditebang secara berlebihan, sekali gus menimbulkan persengketaan dengan pengeluar utama sawit Malaysia dan Indonesia.

EU bercadang untuk meningkatkan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui pada 2030 dan mengambil kira penebangan hutan dalam menentukan apa yang boleh dilabelkan sebagai “boleh diperbaharui”.

Indonesia, yang mengatakan ia akan memfailkan aduan di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap EU berhubung isu sawit, mengancam untuk berhenti daripada perjanjian iklim Paris dan mengatakan ia sedang menilai hubungan dengan anggota EU.

Perdana menteri Malaysia memberitahu Reuters minggu lalu bahawa EU berdepan risiko perang perdagangan berhubung minyak sawit.

Suruhanjaya Eropah berkata ia memeriksa keadaan semasa dan meninjau kemungkinan langkah-langkah tambahan yang dikenakan ke atas import alkohol dari EU. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X