Ahad, 14 April 2019 | 6:32pm

Sun Life sasar pertumbuhan lebih kukuh

KUALA LUMPUR: Sun Life Malaysia, syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd menyasarkan pertumbuhan 23 peratus tahun ini, berbanding 18 peratus yang dicatatkan tahun lalu.

Pengurus Negaranya, Raymond Lew, berkata sasaran pertumbuhan itu dijangka disumbangkan oleh jualan dua produknya iaitu produk konvensional hayat dan takaful keluarga.

Beliau berkata, pada masa ini syarikat insurans dan takaful keluarga itu memasarkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan menerusi beberapa saluran seperti rakan kongsi bank, agensi dan syarikat telekomunikasi.

“Kami menjalin kerjasama dengan CIMB Bank dengan memanfaatkan keseluruhan rangkaian bank berkenaan di negara ini untuk mempromosi dan menawarkan produk Sun Life Malaysia kepada pelanggan mereka.

“Ini memberikan kami akses kepada 7.6 juta pelanggan CIMB Bank di negara ini. Kerjasama eksklusif ini dimeterai untuk tempoh 20 tahun,” katanya dalam satu temu bual di sini, baru-baru ini.

Sun Life Malaysia adalah syarikat usaha sama antara Khazanah dengan Sun Life Financial dari Kanada.

Khazanah menguasai 51 peratus pegangan dalam Sun Life Malaysia manakala baki 49 peratus lagi dimiliki Sun Life Financial.

Mengulas lanjut, Lew berkata selain kerjasama dengan bank, Sun Life Malaysia turut menyasar untuk menggandakan jumlah ejen yang menjual produknya.

“Tahun ini, kami menyasar untuk mempunyai 1,000 ejen yang menjual produk Sun Life Malaysia daripada 600 yang ada sehingga suku pertama tahun ini.

“Dengan peningkatan jumlah ejen berkenaan, kami juga mahu meningkatkan sasaran premium untuk tahun ini kepada lebih RM11 juta,” katanya.

Antara produk yang ditawarkan Sun Life Malaysia termasuklah simpanan, perlindungan kesihatan dan kemalangan serta perancangan pendidikan.

Lew berkata, Sun Life Malaysia juga mahu meningkatkan lagi kesedaran mengenai kepentingan insurans di kalangan pengguna khususnya dalam segmen takaful keluarga.

“Pada masa ini, kadar penembusan adalah sekitar 30 peratus dan segmen takaful masih mempunyai potensi yang besar untuk diterokai.

“Ia berbanding pasaran konvensional yang kini sudah mencapai kadar penembusan sebanyak 60 peratus,” katanya.

Berita Harian X