Selasa, 30 April 2019 | 7:57pm
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay di pejabatnya di Wisma TV. - Foto BERNAMA

Lima firma teknologi UK labur di Malaysia

KUALA LUMPUR: Lima firma teknologi United Kingdom (UK) akan melabur di Malaysia sekali gus memperkukuh komitmen jangka panjang UK untuk menjadikan negara ini sebagai rakan penting dari segi perdagangan dan pelaburan.

Firma berkenaan ialah Ideagen Plc, auditXPRT Inc, BAE System Plc, Mitra Innovation dan SAGE Group Plc.

Ia diumumkan oleh Jabatan Perdagangan Antarabangsa UK serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan KKMM selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Cahrles Hay, di pejabatnya di Wisma TV, Angkasapuri di sini.

Keputusan syarikat UK berkenaan untuk melabur di negara ini membuktikan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan platform lonjakan ke pasaran ASEAN yang lebih luas.

Gobind berkata, memandangkan Malaysia terus menerima guna teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan keselamatan siber, pelaburan tambahan oleh syarikat UK itu menunjukkan keyakinan mereka bahawa Malaysia sedang bergerak maju ke arah hala tuju yang betul.

“Kerjasama dalam bidang teknologi amat penting, bukan hanya untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia malah menggalakkan inovasi dan produktiviti.

“Saya juga berharap pelaburan ini akan membuka prospek perniagaan bagi kedua-dua negara di samping memastikan kita dapat memaksimumkan manfaat teknologi untuk masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa komitmen baharu itu akan mewujudkan lebih banyak peluang sama menang dan menghasilkan sinergi yang membawa kepada peningkatan perdagangan serta perniagaan berkaitan teknologi.

Menurut kenyataan yang sama, Hay berkata pelaburan jangka panjang seumpama itu adalah bukti kualiti kumpulan bakat di Malaysia.

“Kerjasama dalam bidang teknologi, sektor AI dan keselamatan siber penting dalam perkongsian era moden antara UK dan Malaysia,” katanya.

Pengumuman terkini ini adalah susulan lawatan tiga hari Gobind ke UK pada Februari lalu, apabila beliau mengetuai delegasi terdiri wakil kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) dan Agensi Keselamatan Siber Negara.

Ideagen, firma teknologi global yang berpangkalan di Nottinghamshire, akan membuka pusat kecemerlangan di sini sebagai sebahagian strategi globalnya, selain mewujudkan sehingga 70 pekerjaan melibatkan teknologi di sini.

AuditXPRT yang berpangkalan di London pula akan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab Asia Tenggara selain merancang untuk menggajikan sehingga 17 pekerja di Malaysia bagi menyokong penyelesaian AI terkemuka dunia yang bertujuan mentransformasikan pematuhan pengawalseliaan dan audit.

“Pada masa ini, ia melaksanakan projek rintis dengan bank tempatan utama untuk mengautomatikkan proses Kenali-Pelanggan-Anda menggunakan penyelesaian AI. Syarikat itu turut merancang mewujudkan program perintisan di Kuala Lumpur bertujuan mengambil dan melatih individu dalam pembelajaran mesin dan AI,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Mitra Innovation akan bekerjasama dengan rakan kongsi Malaysia untuk meningkatkan ekosistem negara ini dengan membantu memodenkan keupayaan teknologi organisasi menerusi inovasi dan menambah baik keselamatan siber.

Ia akan mengambil lebih 20 pekerja tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai hab pertumbuhan antarabangsa di ASEAN.

BAE Systems akan terus mengembangkan dan memajukan pusat kejuruteraan globalnya selain menjangkakan mencapai 500 pekerja dalam tempoh terdekat, iaitu 80 peratus daripadanya akan diisi oleh pekerja tempatan.

Syarikat teknologi terbesar Britain, SAGE, yang beroperasi di Malaysia selama lebih 20 tahun, merancang untuk mencapai pertumbuhan dan meneruskan pelaburan di Malaysia.

Ia menawarkan penyelesaian perakaunan, pembayaran gaji dan pengurusan syarikat kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Jabatan Perdagangan Antarabangsa UK dan KKMM juga mengumumkan Heriot-Watt University, sebuah universiti Scotland, dengan kampus hijau moden di Putrajaya, melancarkan program biasiswa ‘Data Futures’ baharu untuk tiga tahun dengan kerjasama MDEC.

Biasiswa itu akan mendorong peningkatan jumlah pengambilan pelajar bagi memenuhi permintaan yang semakin banyak terhadap profesional data di negara ini.

Universiti itu komited bagi menyediakan RM2.5 juta dalam bentuk pengecualian yuran untuk pelajar program berkenaan selama tiga tahun akademik akan datang.

Sebagai tambahan, MDEC dan Jabatan Perdagangan Antarabangsa UK di Malaysia sedang membincangkan mengenai langkah perkongsian amalan terbaik berkaitan AI antara kedua-dua negara.

284 dibaca
Berita Harian X