Khamis, 2 Mei 2019 | 11:05am
MENTERI Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof. - NSTP/Saifullizan Tamadi

MED kenal pasti 15 syarikat berpotensi disenarai

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) telah mengenal pasti 15 syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata syarikat berkenaan adalah daripada sektor makanan dan minuman serta teknologi.

“Kami menyasarkan untuk menyenaraikan syarikat ini pada tahun ini kerana ia akan membuka peluang lebih besar untuk mereka mengembangkan perniagaan mereka di luar Malaysia,” katanya dalam wawancara.

Mohd Redzuan berkata, adalah penting untuk memahami bahawa walaupun pelaburan asing adalah penting, pelaburan tempatan adalah lebih penting lagi kerana ia memacu ekonomi.

"Di sebalik apa juga yang sedang berlaku dan dilaporkan, pelabur melihat Malaysia sebagai tanah yang subur untuk pelaburan. Jika pelaburan tempatan adalah kukuh, ini akan merangsang rantaian reaksi yang juga akan menarik pelaburan asing berkualiti tinggi,” katanya.

Tahun lalu, Malaysia meluluskan pelaburan bernilai RM201.7 bilion berbanding RM200.6 bilion pada 2017, dengan pelaburan langsung domestik menyumbang 60 peratus atau RM121.2 bilion daripada jumlah pelaburan, sementara pelaburan asing menyumbang baki 40 peratus.

Untuk 2019, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan untuk merekodkan jumlah pelaburan yang diluluskan melebihi RM200 bilion.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata terdapat permintaan daripada pelbagai negara untuk pensijilan halal bersepadu.

"Saya percaya Malaysia berpotensi untuk menerajui bidang ini kerana pensijilan negara kita dikenali sebagai yang terbaik di dunia.

"Dengan ini, ia akan membuka pintu kepada perdagangan halal tanpa sempadan dan tidak akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna," katanya.

Mohd Redzuan berkata, oleh kerana pembangunan dan perdagangan halal terletak di bawah bidang kuasa beberapa kementerian termasuk Hal Ehwal Ekonomi, serta Perdagangan Antarabangsa dan Industri, perbincangan telah dijalankan untuk mencapai persetujuan.

"Terdapat pasaran halal yang besar di luar sana dan ia dijangka berkembang kepada AS$3 trilion pada 2021. Dengan ini, pasaran seperti Rusia boleh diterokai dan syarikat tempatan kita boleh mencapai tahap yang lebih tinggi," katanya.

Mohd Redzuan berkata, MED telah mengenal pasti kira-kira 300 syarikat, dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bersedia untuk mengeksport.

Katanya, beberapa syarikat Malaysia juga disenarai pendek untuk menjalankan dapur halal di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Ini akan menjadi satu kejayaan bagi syarikat yang dipilih kerana Jepun mempunyai peraturan ketat yang perlu dipatuhi. Dengan kejayaan ini, ia akan mewujudkan peluang dalam logistik halal juga,'’ katanya.

Perbadanan Pembangunan Halal, agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mempromosikan industri halal, telah mengunjurkan eksport halal tempatan akan mencecah RM50 bilion menjelang 2020 berikutan peningkatan jumlah populasi umat Islam.

"Sekiranya kita berjaya mempromosikan perdagangan halal, saya percaya jumlah eksport (halal) boleh mengatasi eksport elektrik dan elektronik (E&E)," katanya.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melaporkan bahawa produk E&E merupakan yang terbanyak dalam komposisi eksport Malaysia pada 38.2 peratus atau RM380.81 bilion pada 2018, meningkat 11 peratus atau RM37.74 bilion daripada tahun sebelumnya.

-BERNAMA

Berita Harian X