Selasa, 7 Mei 2019 | 4:00pm
Bank Negara Malaysia (BNM)

BNM turunkan OPR 25 mata asas

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras rujukan pinjaman bank sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Keputusan yang dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) itu menyaksikan kadar siling dan lantai OPR dikurangkan masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

BNM berkata, walaupun keadaan kewangan dan kewangan domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi, terdapat beberapa tanda pengetatan keadaan kewangan.

Justeru, bank pusat berkata penyesuaian terhadap OPR itu adalah untuk memelihara tahap akomodatif monetari sejajar dengan pendirian dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan yang mantap di tengah-tengah kestabilan harga.

“MPC akan terus mengawasi dan menilai penyeimbangan risiko sekitar prospek pertumbuhan dan inflasi domestik,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai perkembangan terkini ekonomi negara, BNM berkata, ekonomi negara menuju ke arah aktiviti ekonomi sederhana pada suku pertama tahun ini, sementara ekonomi global terus berkembang sederhana.

Ia berkata, meskipun pertumbuhan beberapa ekonomi utama adalah lebih baik pada suku pertama, keadaan asas ekonomi terus mencadangkan penyederhanaan melangkah ke depan.

Katanya, keadaan permintaan global yang perlahan dan keredaan pertumbuhan rakan dagang utama akan terus menjejaskan sektor luaran.

“Di peringkat domestik, keadaan pasaran buruh yang stabil dan pengembangan kapasiti dalam sektor utama akan terus memaju perbelanjaan isi rumah dan modal.

“Unjuran ekonomi Malaysia berkembang antara julat jangkaan 4.3 peratus hingga 4.8 peratus. Bagaimanapun, terdapat risiko penurunan terhadap pertumbuhan daripada ketidaktentuan dalam persekitaran global dan domestik, ketegangan perdagangan dan kelemahan berterusan dalam sektor berkaitan komoditi,” katanya.

BNM berkata, kadar inflasi dijangka kekal rendah dalam tempoh terdekat berikutan langkah dasar termasuk harga siling bahan api runcit domestik sehingga pertengahan 2019 dan impak perubahan dasar cukai kepenggunaan terhadap inflasi.

Ia berkata, bagi keseluruhan 2019, purata kadar inflasi dijangka stabil secara meluas berbanding 2018.

Bank pusat berkata, trajektori inflasi akan terus bergantung kepada harga minyak global.

“Inflasi asas dijangka kekal stabil, disokong oleh pengembangan berterusan dalam aktiviti ekonomi dan kekurangan tekanan permintaan kukuh,” katanya.

Inflasi meningkat kepada 0.2 peratus pada Mac 2019, selepas mencatatkan -0.4 peratus pada Februari 2019.

Berita Harian X