Isnin, 13 Mei 2019 | 5:23pm

Malaysia kekal peneraju terbitan sukuk dunia

KUALA LUMPUR: Terbitan sukuk global mencecah AS$39.5 bilion pada penghujung Mac, dengan Malaysia kekal sebagai peneraju dengan penguasaan 35.1 peratus atau AS$13.9 bilion daripada jumlah terbitan.

Ini diikuti Indonesia dan Arab Saudi, dengan penguasaan masing-masing sebanyak 17.0 peratus atau AS$6.7 bilion dan 15.3 peratus atau AS$6.1 bilion, menurut RAM Ratings.

Dalam kenyataan hari ini, agensi penarafan itu berkata sejumlah AS$12.8 bilion sukuk diterbitkan pada Mac.

Ketua Pembiayaan Islam RAM, Ruslena Ramli, berkata terbitan sukuk global yang melonjak 38 peratus tahun ke tahun adalah petanda baik dari segi kadar prestasi segmen pada 2019.

“Pasaran utama untuk dipantau ialah Indonesia, yang semakin meningkatkan terbitan sukuk sejajar dengan agenda kelestarian, dan bajet difisit yang terus dialami Arab Saudi yang berkemungkin menyebabkan peratusan tinggi sukuk dalam gabungan pembiayaan kerajaan,” katanya.

RAM Ratings menjangkakan Malaysia kekal sebagai peneraju terbitan, yang akan terus menyediakan kestabilan bagi keseluruhan asas terbitan sukuk global.

Malaysia mencatatkan peningkatan 54.4 peratus dalam agihan sukuk pada akhir Mac 2019, berbanding AS$9.0 bilion tahun terdahulu, dipacu oleh pengenalan agihan bil-bil antara bank Bank Negara Malaysia (BNIB-i).

RAM Ratings berkata, ia menjangkakan agihan BNIB-i akan terus berkembang pada 2019, susulan pengiktirafannya sebagai aliran tunai berkualiti tinggi.

“Dalam pasaran tempatan, terbitan sukuk meningkat 10.5 peratus kepada RM880.3 bilion pada akhir Mac, dan kekal pada kedudukan sebagai peneraju pasaran bon di Malaysia, dengan penguasaan 60.9 peratus.

“Penguasaannya telah meningkat dengan ketara sejak ia mencecah 50 peratus pada 2013,” katanya.

Sejumlah RM22.3 bilion sukuk domestik diterbitkan pada Mac, menjadikan nilai terbitan setakat tahun ini sebanyak RM64.1 bilion pada akhir bulan.

Agensi penarafan itu berkata perkhidmatan pembiayaan, infrastruktur dan utiliti adalah peneraju utama pasaran sukuk domestik, dengan nilai terbitan masing-masing sebanyak RM11.4 bilion dan RM3.6 bilion pada suku pertama.

-BERNAMA

Berita Harian X