Khamis, 16 Mei 2019 | 12:24pm
NOR Shamsiah Mohd Yunus menjawab pertanyaan wartawan selepas membentangakan Prestasi Ekonomi Suku Pertama Tahun 2019 di Bank Negara, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
NOR Shamsiah Mohd Yunus menjawab pertanyaan wartawan selepas membentangakan Prestasi Ekonomi Suku Pertama Tahun 2019 di Bank Negara, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama 2019

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 4.5 peratus pada suku pertama tahun ini, lebih tinggi berbanding unjuran pasaran 4.3 peratus.

Pertumbuhan itu bagaimanapun lebih perlahan berbanding pertumbuhan 4.7 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2018 dan 5.3 peratus pada suku pertama 2018.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata  pertumbuhan yang dicatatkan pada suku pertama disokong oleh pemulihan dalam sektor pertanian terutama pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan eksport bersih yang tinggi.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan dan perkilangan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.

"Malaysia kekal dalam landasan pertumbuhan kukuh dengan dijangka berkembang antara 4.3 peratus-4.8 peratus tahun ini disokong oleh perbelanjaan sektor swasta," katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama 2019 di sini, hari ini.

Mengenai akaun semasa, Nor Shamsiah berkata, akaun semasa dijangka kekal dalam lebihan berikutan permintaan daripada negara dagang utama terus berkembang meskipun sederhana.

Beliau nerkata, aliran pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM21.7 bilion pada suku pertama 2019 dan kekal merentasi sektor yang meluas.

Mengenai ringgit, Nor Shamsiah berkata, pergerakan mata wang tempatan itu pada 2019 didorong oleh faktor luaran.

Melangkah ke hadapan, ringgit sejajar dengan mata wang serantau akan terus dipengaruhi faktor luaran, katanya.

Pada 2019, kadar inflasi dijangka berpurata antara 0.7 peratus hingga 1.7 peratus.

Berita Harian X