Isnin, 3 Jun 2019 | 9:38am

Ringgit mengukuh

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, sejajar Indeks Pengurus Pembelian Nikkei yang positif (PMI).

Pada 9 pagi, ringgit menokok kepada 4.1850/1900 berbanding dolar AS daripada 4.1890/1920 penutup Jumaat.

Peniaga berkata, Nikkei PMI yang dikeluarkan pagi ini menjadikan pelabur selesa pada masa ini, kerana ia menyatakan keyakinan perniagaan mencecah paras tertinggi, dan optimis terhadap masa depan.

Laporan itu menggambarkan prospek positif bagi sektor perkilangan Malaysia, walaupun landskap risiko global masih tidak menentu.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0465/0513 daripada 3.0399/0432 pada Jumaat dan susut berbanding yen Jepun pada 3.8643/8700 daripada 3.8512/8544.

Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.2928/2995 daripada 5.2693/2748 dan lemah berbanding euro kepada 4.6776/6848 daripada 4.6703/6741. - BERNAMA

Berita Harian X